BAH  (dua kiri dan  Azhari  (kiri) melepaskan  anak ikan ke dalam Sungai Krau, semalam.
BAH (dua kiri dan Azhari (kiri) melepaskan anak ikan ke dalam Sungai Krau, semalam.
Roselan Ab Malek

Temerloh: Jabatan Perikanan mengkaji larangan pelepasan ikan asing ke perairan sungai dan tasik tanpa kebenaran ketua pengarah dalam usaha melindungi ekosistem dan habitat hidupan marin tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Datuk Dr Bah Piyan Tan berkata, larangan mewujudkan klausa khusus itu perlu bagi menghalang orang awam melepaskan ikan asing ke dalam sungai dan tasik tanpa merujuk terlebih dulu spesies ikan dibenarkan.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan mengenai pelepasan ikan asing khususnya keli Afrika ke sungai atau tasik oleh mereka yang bernazar atau membayar hajat selain ikan peacock bass atau ikan raja dan alligator fish yang semuanya jenis pemangsa.

“Pelepasan ikan pemangsa ini boleh mengganggu ekosistem habitat asal sungai kerana dilepaskan secara sengaja sehingga membahayakan spesies ikan tempatan.

“Setakat ini, kajian mengenai kesan ikan asing ini dilakukan di Sungai Muda dan Sungai Perai di Kedah, Tasik Timah Pasoh (Perlis) dan Tasik Temenggor (Perak),” katanya selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli dan Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum di Kampung Pasu di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan negeri Azahari Othman.

Apabila dikuatkuasa, beliau berkata, setiap negeri dapat meminda peraturan sedia ada untuk menambah klausa khusus itu supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan terbabit.

Selain itu, Bah Piyan juga memaklumkan jabatannya memperkasa Program Komuniti Perikanan #myKP membabitkan nelayan darat kerana berpotensi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat yang lebih memahami keperluan dan kehendak penduduk.

Menurutnya, #myKP boleh berperanan sebagai perantara bagi mendapatkan maklumat, bantuan dan nasihat daripada jabatan dalam projek berkaitan perikanan yang sesuai dijalankan di kawasan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 10:47 AM