Halimi Abu Hanip menunjukkan ikan sebarau yang ditangkap ketika inventori di Empangan Sungai Triang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Halimi Abu Hanip menunjukkan ikan sebarau yang ditangkap ketika inventori di Empangan Sungai Triang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Proses inventori atau perincian spesis ikan air tawar terdapat di Empangan Sungai Triang, Kampung Gagu di sini, mendedahkan kewujudan spesis ikan terbol, sebarau, baung, haruan, tilan dan lampam sungai,

Kajian dilakukan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sejak dua hari lalu itu, bertujuan mengenal pasti spesis ikan terdapat dalam empangan buatan manusia itu, sama ada terdapat spesies ikan asli tempatan atau ikan asing.

Difahamkan Empangan Sungai Triang, di hulu sungai berkenaan siap dan dirasmikan pada 2018 bagi membekalkan air mentah ke daerah Seremban.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya turut mengesan ikan asing a tilapia hitam dan lampam jawa.

Katanya pelbagai kaedah menangkap ikan digunakan antaranya menjaring, menajur dan memancing.

"Inventori yang dilakukan Jabatan Perikanan ini bukan hanya dilaksanakan di empangan ini malah di lokasi lain antaranya tasik, lombong dan sungai di setiap daerah sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Sangat penting untuk kita mengetahui sama ada perairan itu mempunyai spesies ikan asing yang bersifat invasif ( invasive alien species ) kerana ia mampu mengganggu dan mengancam populasi spesies ikan asli di perairan berkenaan," katanya tadi.

Halimi berkata, ikan asing bersifat invasif seperti 'peacock bass' yang berasal dari Amerika Selatan dan dibawa masuk ke negara ini sebagai ikan hiasan akuarium mampu menyesuaikan diri dengan sangat cepat dalam perairan tasik kita sehingga menjadi dominan.

"Ia kemudian mengancam populasi ikan asli seperti sebarau dan terbol. Alhamdulillah kita mendapati spesies ikan pemangsa asing yang agresif itu tidak wujud langsung di tasik empangan ini," katanya.

Justeru, Halimi amat berharap tiada individu yang sengaja membawa masuk dan melepaskan ikan pemangsa asing sedemikian ke dalam tasik ini kerana impaknya terhadap ikan tempatan amat besar.

"Kemusnahan spesis ikan tempatan itu terjadi di Empangan Jus di Melaka; Empangan Chenderoh di Perak dan Tasik Timah Tasoh di Perlis.

"Sebarang pelepasan ikan ke perairan umum oleh orang ramai perlulah mendapatkan nasihat dan kebenaran daripada pihak Jabatan Perikanan, selain perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Inventori di Empangan Sungai Triang turut mendapat kerjasama Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

"Selesai inventori, kita melepaskan 10,000 pelbagai jenis anak ikan asli seperti baung, puyu dan temoleh ke dalam tasik berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 8:25 PM