Nurul Hidayah Bahaudin


SASAR lebih 1,500 akaun individu dari Malaysia, China, Jepun, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat sebagai mangsa.

Itu adalah taktik sindiket 'Love Scam' yang berjaya dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam enam serbuan di sekitar Lembah Klang, 6 September lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK Bukit Aman Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, pihaknya menahan 25 warga asing terdiri warga Nigeria, Tanzania dan Thailand termasuk lima wanita berusia antara 21 hingga 40 tahun dalam serbuan itu.

“Kami turut merampas pelbagai peranti termasuk komputer riba dan telefon bimbit, selain kad ATM yang digunakan suspek menjalankan kegiatan terbabit.

“Hasil semakan terhadap peranti yang dirampas, kami mendapati lebih 1,500 akaun individu dari China, Jepun, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat selain Malaysia berada dalam pemantauan sindiket itu yang disasarkan sebagai mangsa.

“Siasatan awal mendapati sebanyak 10 kes dengan kerugian berjumlah RM500,000 dilaporkan membabitkan sindiket itu di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, hari ini.

Ahmad Noordin berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyamar sebagai lelaki pertengahan usia yang sedang mencari pasangan hidup menggunakan Facebook untuk berkenalan dengan mangsa sebelum meraih kepercayaan mereka sepanjang tempoh perkenalan.

“Selepas mangsa percaya, sindiket itu akan memaklumkan dia akan menghantar bungkusan dikatakan mengandungi barang berharga termasuk wang tunai serta barangan kemas sebagai tanda dalam perhubungan mereka.

“Mangsa kemudian akan menerima panggilan telefon daripada individu yang memaklumkan bungkusan itu ditahan oleh pihak berkuasa, dan mereka perlu membayar jumlah tertentu untuk mendapatkan bungkusan berkenaan.

"Suspek juga menggunakan kemudahan perbankan milik pihak ketiga membabitkan mangsa terdiri daripada wanita diperdaya supaya menyerahkan kad ATM dan akses perbankan melalui kiriman pos,” katanya.

Katanya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/1963.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan apa jua tindakan yang diarahkan oleh individu dikenali melalui aplikasi itu.

“Selain itu, orang ramai diingatkan bahawa tindakan menyerahkan akses akaun perbankan kepada penjenayah boleh menyebabkan pemilik akaun dikenakan tindakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 4:23 PM
AHMAD Noordin menunjukkan peralatan yang dirampas daripada sindiket 'Love Scam' pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. FOTO/VIDEO Hafiz Sohaimi
AHMAD Noordin menunjukkan peralatan yang dirampas daripada sindiket 'Love Scam' pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. FOTO/VIDEO Hafiz Sohaimi