Izlaily Nurul Ain Hussein


AKIBAT enggan menyertai kongsi gelap, seorang remaja lelaki dan dua rakannya cedera selepas diserang sekumpulan 10 lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, Khamis lalu.

Susulan kejadian itu, tujuh suspek warga tempatan termasuk lima remaja ditahan dalam dua serbuan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam, mangsa bersama dua rakannya masing-masing berusia 17 tahun berada di restoran itu sebelum didatangi kumpulan lelaki tidak dikenali.

“Kumpulan lelaki itu datang dengan memakai penutup mulut dan bertanya kepada mangsa sama ada mahu menjadi ahli geng (kongsi gelap) mereka atau sebaliknya.

“Akibat menjawab tidak mahu, suspek terus menyerang mangsa dan dua rakannya dengan menggunakan parang, besi serta kayu.

“Mangsa dan rakannya melarikan diri dari kawasan itu bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, mangsa luka di belakang kepala dan bengkak di siku kiri, manakala dua rakannya masing-masing bengkak pada lengan, siku, pergelangan tangan serta jari di bahagian kiri selain calar di bahu kiri.

“Mangsa turut kehilangan beg duit mengandungi wang tunai kira-kira RM60,” katanya.

ASISTEN Komisioner Mohd Taib Ahmad. FOTO Arkib NSTP
ASISTEN Komisioner Mohd Taib Ahmad. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki berusia 20 dan 14 tahun dalam serbuan di tepi jalan di Taman Bukit Kempas jam 8 malam semalam.

Katanya, pihaknya turut menahan lima suspek lain berusia 14 hingga 31 tahun dalam serbuah di Skudai jam 11.30 malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku berpunca akibat balas dendam antara dua kumpulan.

“Semua suspek direman empat hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 10:33 PM