Murni Wan Omar


KES saman fitnah membabitkan pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Zamihan Mat Zin berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ia berikutan Zamihan bersetuju untuk menarik balik perkataan fitnah dan akan mengemukakan permohonan maaf melalui media sosial Facebook dalam tempoh dua hari.

Peguam Meor Amin Meor Omar Baki yang mewakili Bilal Philips ketika ditemui berkata, Zamihan sebagai defendan juga akan menarik balik ‘posting’ yang memfitnah anak guamnya serta-merta.

“Mahkamah juga membenarkan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi fitnah terhadap plaintif.

“Pihak defendan bersetuju untuk membayar ganti rugi yang jumlahnya tidak dapat didedahkan kepada umum. Selain itu, jaminan untuk kos RM30,000 yang dibayar oleh anak guam saya akan dipulangkan semula,” katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim merekodkan penghakiman persetujuan di dalam kamarnya.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Zamihan pada prosiding itu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tiga hari bermula hari ini untuk perbicaraan.

Bilal Philips selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Zamihan kerana mendakwa defendan memfitnahnya melalui posting bergambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, tahun lalu dengan mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 29 September tahun lalu, Bilal Philips mendakwa defendan memuat naik gambarnya dan kapsyen dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al Ghari pada 26 November 2016 yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:33 PM
BILAL Philips (kiri) bersalaman dengan Zamihan selepas penyelesaian kes saman fitnah beliau di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO/VIDEO Hafiz Sohaimi
BILAL Philips (kiri) bersalaman dengan Zamihan selepas penyelesaian kes saman fitnah beliau di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO/VIDEO Hafiz Sohaimi