Azura Abas dan Mohd Husni Mohd Noor


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 September depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Selangor.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya turut menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi awal pula ditetapkan pada 4 September.

Beliau berkata, SPR turut bersetuju melantik Pegawai Daerah Hulu Langat Datuk Rosli Othman sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK DUN Balakong.

“Seramai 998 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK DUN Balakong dan 17 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan keseluruhan 129 saluran mengundi.

“Seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu,” katanya pada sidang media PRK DUN Balakong di Putrajaya, hari ini.

Othman berkata, beberapa penambah baikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Beliau berkata, SPR turut menambah dua saluran khusus kepada pengundi berumur 60 tahun dan ke atas.

“Kami turut menambah 29 saluran baru bagi mengelak jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan 129 saluran berbanding 100 saluran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kami berharap penambah baikan itu dapat mengurangkan kesesakan di tempat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Othman berkata, kos perbelanjaan bagi PRK DUN Balakong sebanyak RM1.5 juta.

Selain itu, katanya, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim pada Jumaat lalu berhubung dengan kekosongan kerusi DUN Balakong.

Menurutnya, pemakluman itu berikutan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan, mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Ng terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail dipandunya merempuh bahagian belakang lori pencuci jalan menyebabkan mendiang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pada pilihan raya umum lalu, Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong bagi penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:45 PM
OTHMAN (kiri) kanan) dan Rosli (kanan) melihat peta kawasan PRK DUN Balakong selepas sidang media di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
OTHMAN (kiri) kanan) dan Rosli (kanan) melihat peta kawasan PRK DUN Balakong selepas sidang media di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.