Pengundi digalakkan membuat semakan sendiri untuk melancarkan lagi proses pengundian di pusat-pusat mengundi PRK Seri Setia dan Balakong. (Gambar kecil) Othman Mahmood.
Pengundi digalakkan membuat semakan sendiri untuk melancarkan lagi proses pengundian di pusat-pusat mengundi PRK Seri Setia dan Balakong. (Gambar kecil) Othman Mahmood.
Ruwaida Md Zain

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan semua pengundi di Seri Setia dan Balakong untuk membuat semakan daftar pemilih menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.

Ia bagi membolehkan mereka mengetahui maklumat daftar pemilih masing-masing dan semakan boleh dibuat melalui pelbagai saluran yang disediakan SPR seperti melalui aplikasi MySPR Semak, laman web SPR di www.spr.gov.my atau telefon ke 03-88927018.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, jika mereka mengetahui maklumat daftar pemilih seperti pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan, mereka boleh mencatat maklumat berkenaan dan membawa catatan itu terus ke saluran mengundi tanpa perlu membuat semakan di barung SPR.

“Pengundi juga dinasihatkan merancang perjalanan mereka untuk ke pusat mengundi memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“SPR menasihatkan kepada semua pengundi di Balakong dan Seri Setia agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka esok. Jangan lupa membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri.

“SPR juga meminta semua majikan memberi masa yang munasabah kepada pekerja mereka yang menjadi pengundi berdaftar di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Adalah menjadi satu kesalahan jika pekerja mereka dihalang untuk mengundi. Jika disabitkan majikan boleh didenda sebanyak RM5,000 dan dipenjara tidak lebih satu tahun mengikut seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada NSTP.

Othman berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses pengundian esok selepas persiapan akhir dijalankan hari ini iaitu semakan terhadap isi peti undi dan semua peralatan.

“Semua dokumen dan peralatan yang akan digunakan esok juga diserahkan kepada semua petugas.

“Bagi PRK DUN Balakong, jumlah keseluruhan petugas adalah 1,001 orang, manakala bagi PRK DUN Seri Setia pula seramai 903 orang.

“Sebanyak 16 pusat mengundi dibuka di DUN Seri Setia yang membabitkan 106 saluran mengundi dan 16 pusat mengundi juga turut dibuka dengan 128 pusat mengundi bagi DUN Balakong.

“SPR berharap proses pengundian esok akan berjalan lancar dan tiada sebarang masalah berlaku. Keputusan pula dijangka akan diumumkan sebelum jam 10 malam esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 10:34 PM