PETUGAS SPR melakukan persiapan di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2), Cheras.
PETUGAS SPR melakukan persiapan di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2), Cheras.
Meor Riduwan Meor Ahmad


TEMPOH 21 hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong membabitkan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki dan Tan Chee Teong daripada MCA berakhir tengah malam tadi.

Biarpun tamatnya kempen secara konvensional dan paling lama ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini, secara maya akan berlarutan sehingga pengundi berada di bilik mengundi hari ini.

Kini, terserah di tangan 62,188 pengundi membuat pemilihan sama ada mengundi Siew Ki atau Chee Teong membawa ‘suara’ mereka dalam DUN Selangor, selepas 28 daripada 31 pengundi awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis mengundi pada 4 September lalu.

Mengikut statistik SPR, 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu.

Difahamkan, tiga daripada 31 pengundi awal tidak mengundi kerana tamat tempoh perkhidmatan dan berdepan masalah disiplin.

SPR dalam pada itu menyasarkan 70 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRK Balakong dan Seri Setia yang diadakan serentak hari ini, sekali gus mengatasi peratusan pengundi rendah pada PRK Sungai Kandis, 4 Ogos lalu.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood dipetik berkata, pengundi dinasihatkan merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir walaupun tempoh mengundi dilanjutkan sehingga jam 5.30 petang.

Selain itu, bagi melancarkan proses pengundian, SPR menambah 29 saluran baru termasuk dua untuk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, menjadikan keseluruhan 129 saluran di 17 pusat pengundian.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, mendiang menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

PRK DUN Balakong menjadi medan ujian sejauh mana MCA masih relevan kepada pengundi Cina apabila buat kali pertama menggunakan logo parti sendiri.

Biarpun Chee Teong, 40, anak jati Balakong, beliau mengakui sukar meraih sokongan pengundi di kubu kuat DAP itu berbanding Siew Ki selaku Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:43 AM