ZUNAIDAH menjenguk tanaman di laman.
ZUNAIDAH menjenguk tanaman di laman.
Intan Mas Ayu Shahimi

Dalam sibuk bekerja, kita begitu mudah terbuai dengan kenangan sewaktu zaman membesar bersama ibu ayah di kampung. Laman luas tempat bermain, bercucuk tanam di tepi rumah, kemudian sama-sama menyiram pokok sebelum senja.

Bagi yang tinggal di kampung, tentunya rutin sama masih boleh dinikmati bersama keluarga tercinta. Namun mereka di bandar biasanya hanya mampu menumpang keseronokan teman dan saudara yang berkesempatan memiliki kebun dapur di sekitar kediaman.

Zunaidah Ani antara wanita beruntung kerana masih tinggal di rumah kampung dan memiliki kawasan luas untuk berkebun bersama anak. Menetap di Klang, Selangor, suri rumah berusia 41 tahun ini cukup senang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, malah berkesempatan melakukan aktiviti diminati seperti bercucuk tanam serta kerja dekorasi taman.

“Sama seperti ibu lain, saya biasanya akan bangun awal untuk menyiapkan sarapan dan anak ke sekolah. Selesai rutin pagi, saya akan melihat tanaman di laman, mengemas rumah, memasak dan berehat.

“Hanya petang, selepas pulang daripada mengambil anak dari sekolah, barulah saya akan turun ke laman. Sambil memerhatikan anak bermain, saya akan mula menggembur tanah, menyemai, menyusun atur dan membersihkan kawasan bercucuk tanam,” katanya.

 DEKORASI taman ala Inggeris.
DEKORASI taman ala Inggeris.

Jelas Zunaidah, dia cukup gembira melakukan kerja kebun, menyusun atur dan menghias laman, malah menganggapnya sebagai latihan kecergasan yang mampu mengeluarkan peluh.

“Waktu beginilah saya akan mengajar anak supaya mendekati alam sekitar. Kebiasaannya, sebelah pagi saya berkebun ditemani anak bongsu kerana abangnya bersekolah.

“Memandangkan tanah di sekitar kediaman luas, jadi saya peruntukkan kawasan tepi rumah untuk sayur, manakala sebahagian lain untuk menanam bunga. Minat bercucuk tanam ini asalnya bermula pada 2013, selepas saya berhenti kerja.

“Siapa sangka minat itu terus berkembang. Tambahan kos sara hidup juga kian meningkat, hasil kebun sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Paling menarik, kata Zunaidah, dia dan keluarga dapat menikmati sayur-sayuran segar, ulam dan herba yang ditanam tanpa menggunakan sebarang semburan bahan kimia

“Selain hasil sayuran, saya juga meminati bunga. Jadi, banyaklah bunga-bungaan ditanam di sekeliling rumah mengikut konsep dan idea dekorasi taman ala Inggeris,” katanya.

KEBUN dapur yang menempatkan tanaman sayuran.
KEBUN dapur yang menempatkan tanaman sayuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:44 PM