LOKMAN bersalam dan bermesra dengan peniaga serta orang ramai di Taman Sri Andalas. FOTO Roslin Mat Tahir
LOKMAN bersalam dan bermesra dengan peniaga serta orang ramai di Taman Sri Andalas. FOTO Roslin Mat Tahir
Khairul Azran Hussin


CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS cawangan pada minggu depan.

Beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan beberapa perkara, antaranya meminta PAS untuk membantu BN sepanjang tempoh kempen selama dua minggu ini.

“Kita memang ada perancangan berjumpa dengan pemimpin PAS. Kita harap pertemuan ini beri hasil positif. Sokongan PAS amat penting untuk mengukuhkan suara orang Islam dan Melayu.

“Memang betul ada orang cakap jika tambah bilangan undi BN sebanyak 11,518 dan PAS (7,573) yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekalipun, kita masih gagal menumbangkan PKR yang mendapat 23,998 undi.

“Namun, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan undi PKR yang akan menjadi penanda aras untuk membentuk lebih banyak kerjasama antara UMNO, BN dan PAS pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program turun padang di Taman Sri Andalas, Klang, hari ini.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Dalam pada itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, isu kesukaran mendapatkan lesen perniagaan di negeri ini antara perkara yang akan diperjuangkan BN.

“Tidak kira sama ada BN menang atau kalah pada PRK Sungai Kandis, isu lesen perniagaan ini akan terus kita perjuangkan.

“Dalam pertemuan dengan masyarakat, saya diberitahu ramai warga asing yang mendapat lesen perniagaan untuk membuka gerai. Perkara ini yang menimbulkan persoalan kenapa rakyat tempatan dinafikan hak,” katanya.

• Lagi

berita PRK Sungai Kandis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 6:27 PM