AMIRUDIN (tengah) ditemui media selepas Majlis Program Menyantuni  dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa, Klang, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
AMIRUDIN (tengah) ditemui media selepas Majlis Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa, Klang, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Norrasyidah Arshad


PKR dijangka mengumumkan calon mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, esok.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pengumuman itu akan dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semalam kita sudah adakan mesyuarat Biro Politik pusat untuk bincangkan perkara (calon) ini dan saya turut hadir.

“Secara konsensus kita sudah buat keputusan (memilih calon),” katanya ketika ditemui di Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Klang, hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pengumuman selain tidak mahu memberi sebarang maklumat lanjut berhubung calon yang dipilih.

“Esok ada Majlis Pelancaran Jentera dan Insya-Allah kalau dibenarkan, kita akan umum esok.

“Sekarang kita sedang uruskan berkenaan calon dan pelarasan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Isnin lalu, PKR Cabang Kota Raja mengumumkan sudah mengemukakan tiga nama kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk dipilih sebagai calon.

PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:16 PM