ROSLAN Shahir menyarankan PRK DUN Sungai Kandis sebagai perintis kepada lebih banyak kerjasama antara PAS dan UMNO pada masa depan.
ROSLAN Shahir menyarankan PRK DUN Sungai Kandis sebagai perintis kepada lebih banyak kerjasama antara PAS dan UMNO pada masa depan.
Khairul Azran Hussin


SEORANG pemimpin PAS Selangor mencadangkan parti itu untuk membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Cadangan itu disuarakan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang berpendapat kerjasama itu antara pilihan terbaik untuk menguatkan suara pembangkang serta mengimbangi kekuatan Pakatan Harapan (PH).

“Secara peribadi saya mengesyorkan supaya PAS dan UMNO membentuk kerjasama bagi kerusi DUN Sungai Kandis.

“Saya melihat adalah lebih baik jika berlaku pertandingan satu lawan satu bagi kerusi ini.

“Dalam konteks di Selangor, PH sangat kuat dan bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan baik, adalah penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat di Selangor,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, Isnin lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

PH Selangor berjaya meraih 51 kerusi DUN, BN (4) manakala PAS (1).

Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, bagi merealisasikan kerjasama itu, PAS dan UMNO perlu membuang ego masing-masing dengan meletakkan kepentingan agama Islam sebagai asas untuk berbuat demikian.

“Tidak salah PAS dan UMNO membentuk kerjasama jika ia memberi kebaikan kepada semua pihak, buanglah ego kita.

“Mungkin PRK DUN Sungai Kandis ialah perintis kepada lebih banyak kerjasama antara PAS dan UMNO pada masa depan. Namun sebagai ahli parti, saya akur semua keputusan PAS Pusat," katanya.

Pada 2016, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pernah mencadangkan parti itu membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-14 dalam usaha mengukuhkan suara Islam.

Selain itu, Majlis Syura PAS turut bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 9:13 PM