Wee selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
Wee selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Anwar Patho Rohman

MCA yang hanya mempunyai seorang wakil dalam Dewan Rakyat mengemukakan tujuh usul untuk dibahaskan Ahli Parlimen pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14 yang bermula Isnin lalu.

Usul utama yang dikemukakan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ialah menggesa Menteri Pendidikan memperjelaskan pengiktirafan segera ke atas pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) supaya lepasan UEC boleh memohon untuk kemasukan universiti awam bagi sesi pengambilan 2018/2019 bermula awal September ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memutuskan akan melaksanakan pengiktirafan UEC seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya tidak akan melakukan pusingan U atau flip flop terhadap manifesto yang dijanjikan.

Wee turut mengemukakan usul meminta Dewan Rakyat menggesa Perdana Menteri membatalkan projek kereta nasional baharu susulan kegagalan Proton, sebaliknya menumpu usaha menangani isu industri automotif dan memperkukuhkannya secara holistik selaras dengan Dasar Automotif Nasional.

Beliau turut mengemukakan usul menggesa Perdana Menteri membentang butiran, terma dan tujuan kerajaan dalampermintaan kredit yen dari kerajaan Jepun untuk dibahaskan.

Timbalan Presiden MCA itu turut menuntut Dewan Rakyat menggesa Menteri Kewangan membahaskan kaedah mengira hutang negara dengan mengambil kira liabiliti luar jangkaan serta pajakan perkongsian awam-swasta berbanding kaedah antarabangsa dan mahu pengiraan baharu hutang dibentang untuk kelulusan Parlimen.

Usul lain yang Wee kemukakan ialah soal saluran peruntukan tahunan dan dana khas untuk pembangunan serta penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) tanpa mengabaikan Sekolah Kebangsaan serta sekolah aliran lain.

Sementara itu, Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) membentangkan Usul Menjunjung Kasih membahaskan Titah Di Raja bagi pihak kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:10 AM