TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. FOTO Salhani Ibrahim
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. FOTO Salhani Ibrahim
Ahmad Suhael Adnan


SYARAT lulus mata pelajaran Sejarah tidak akan dimasukkan dalam pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC).

Sebaliknya Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, hanya kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dijadikan syarat mengiktiraf sijil itu, selaras manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Manifesto PH adalah lulus Bahasa Melayu dengan kredit (Kepujian),” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada subjek Bahasa Melayu dan Sejarah akan diwajibkan dalam usaha kerajaan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki universiti awam (UA).

Manifesto PH dalam Buku Harapan menjelaskan UEC akan dinilai supaya setaraf dengan syarat am kelayakan memasuki UA, dengan syarat pemohon memiliki kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum ini, kenyataan Teo yang mahu pengiktirafan UEC diselesaikan sebelum hujung tahun ini kerana isu itu tidak perlu dibawa ke Parlimen, mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membantah pengiktirafan itu kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara, selain bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 kerana tidak membabitkan subjek Bahasa Melayu.

Berhubung kenyataannya mengenai pengiktirafan UEC tidak perlu melalui Parlimen, Teo berkata, sijil itu tidak perlu diluluskan di Dewan Rakyat kerana tiada pindaan akta.

Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen bebas untuk membahaskannya di Dewan Rakyat dan pihaknya sedia menjawab persoalan yang dibangkitkan.

“Semua perkara boleh dibahaskan di Parlimen. Dasar boleh dibahaskan, tetapi kelulusan oleh Parlimen adalah perkara berbeza kerana hanya pindaan atau penggubalan akta perlu diluluskan Dewan Rakyat.

“Setakat ini, A Level, kursus Asasi juga kita tak perlu pinda undang-undang, tetapi semua isu boleh dibangkitkan dalam Parlimen untuk dibahas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 11:57 PM