MOHAMAD Ariff. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD Ariff. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

TAN Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata, kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

"Terpulanglah kepada Dewan untuk memutuskannya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Saya tiada masalah secara peribadi selagi proses demokrasi dan Perlembagaan dipatuhi," katanya ringkas.

Sementara itu, Nga yang juga Ahli Parlimen Telok Intan mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat (26 Jun) lalu.

Nga sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan menghormati keputusan yang dibuat Dewan Rakyat sama ada mahu beliau dan Mohamad Ariff terus kekal atau melepaskan jawatan mereka mengikut perlembagaan dan peraturan Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:08 PM