AL-SULTAN Abdullah. FOTO Arkib Bernama
AL-SULTAN Abdullah. FOTO Arkib Bernama
Yusmizal Dolah Aling


MALAYSIA mengamalkan konsep demokrasi berparlimen serta raja berperlembagaan dan ia dapat dilihat melalui apa yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dalam menangani kemelut politik melanda negara ketika ini.

Dalam penentuan siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri, Baginda menjalankan peranan seperti termaktub dalam perlembagaan dan akan melantik seseorang yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ke jawatan itu.

Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, perkembangan yang berlaku dalam arena politik tanah air ketika ini menterjemahkan peranan yang boleh dimainkan Seri Paduka.

“Kita sering dengar demokrasi berparlimen, dewan rakyat, buat undang-undang, tapi kita jarang bercakap soal raja berperlembagaan. Seri Paduka mempunyai peranan tertentu yang termaktub di dalam perlembagaan sebagai Ketua Utama Negara.

“Mengikut Perkara 40 (2) (A), Baginda mempunyai kuasa dan budi bicara untuk melantik Perdana Menteri dan Baginda tidak perlu mendapatkan pandangan atau nasihat daripada sesiapa.

“Begitu juga apabila Perdana Menteri meletak jawatan, Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan kerana di sinilah terletak kaitan antara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Jadi kalau sebelum ini kita dengar ada kerajaan Barisan Nasional (BN), kerajaan Pakatan Harapan (PH), itu tidak tepat kerana ia adalah kerajaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Shamrahayu berkata, Perkara 43 (2) (A) menetapkan apabila Seri Paduka hendaklah melantik Perdana Menteri dulu yang kemudiannya akan mencadangkan jemaah menteri.

Katanya, Perdana Menteri pula perlu memenuhi dua kriteria, iaitu mestilah seorang ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Perlembagaan hanya menyebut mengenai perlu ada kepercayaan majoriti tetapi tidak sentuh mengenai bagaimana untuk dapat kepercayaan itu.

“Jadi inilah peranan Seri Paduka dengan memanggil seorang demi seorang ahli parlimen untuk mendengar sendiri pandangan berhubung siapa yang layak.

“Ini tidak pernah berlaku di negara kita dan saya nampak, Baginda menunjukkan kebijaksanaan dalam isu pergolakan politik yang mendapat perhatian di negara kita ini,” katanya.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Sebelum itu, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), mengundang pelbagai spekulasi berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Hari ini dan esok, Baginda dijadualkan bertemu dengan semua Ahli Parlimen untuk menerima pandangan mengenai pensejajaran semula kerajaan.

Sepanjang proses pertemuan itu, Baginda sendiri menemu bual Ahli Parlimen terbabit disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:17 PM