MOHAMAD Fuzi (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pemain golf pada Majlis Makan Malam Kejohanan Golf PDRM Piala KPN 2018 di Nilai Springs Golf & Country Club di Nilai, malam ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS meningkatkan usaha memburu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melarikan diri daripada tahanan pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pemburuan itu dipertingkatkan pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan bagi menahan Ketua Gerakan Baju Merah berkenaan.

Katanya, Jamal adalah individu sangat dikehendaki dan dipercayai melarikan diri ke Indonesia ketika ditahan di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Selangor.

“Kita (polis) amat mengkehendaki Jamal dan menubuhkan pasukan khas bagi memburunya.

“Untuk tujuan itu, kerjasama antara PDRM dimeterai dengan Interpol dan polis Indonesia,” katanya pada Majlis Makan Malam Kejohanan Golf PDRM Piala KPN 2018 di Nilai Springs Golf & Country Club di Nilai, malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin dan Timbalannya, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Mohamad Fuzi berkata, beliau mengutuskan surat kepada Ketua Polis Republik Indonesia bagi mendapatkan bantuan untuk menahan pemimpin politik yang dilanda pelbagai kontroversi itu.

Berkaitan perkembangan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu, beliau berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk dibawa ke mahkamah.

Terdahulu, seramai 274 peserta membabitkan 32 pasukan berebut untuk dinobatkan sebagai juara kejohanan berkenaan.

Ia adalah program tahunan bertujuan menyemai semangat kesukanan tinggi dan mengeratkan silaturahim antara anggota dan pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:37 PM