ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 264.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 264.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Farah Suhaidah Othman


LELAKI maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilomer 264.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.37 petang itu, penumpang lori Hicom MTB150 yang juga warga Bangladesh, Shushil Chindro Biswas, 37, maut di lokasi kejadian manakala pemandunya berusia 33 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 53 tahun parah.

Selain itu, pemandu lori Hino berusia 32 tahun pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati satu daripada dua lorong di lokasi kejadian ditutup berikutan pihak syarikat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjalankan kerja pembaikan di lorong kanan.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori Hicom dinaiki ketiga-tiga mangsa hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori di hadapannya.

“Berikutan itu, lori yang merempuh itu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sebelah kiri jalan manakala satu lagi lori bergerak ke hadapan sejauh 200 meter dan turut terbabas ke sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mohd Ali berkata, susulan kejadian itu penumpang hadapan lori Hicom maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu dan seorang lagi penumpang lori sama cedera parah manakala pemandu lori Hino cedera ringan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:11 AM