Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI cedera di kepala selepas ditetak dengan parang oleh rakan jirannya kerana tidak berpuas hati apabila mangsa menegur perbuatan mereka yang mabuk dan membuat bising di Taman Kobis, Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian pada 9.30 malam, mangsa, 31, yang berada di rumahnya bertindak keluar lalu menegur perbuatan jiran dan rakannya itu yang membuat bising.

Sumber berkata, mangsa meminta kedua-dua suspek pulang ke rumah mereka menyebabkan berlaku salah faham.

“Pada mulanya mereka beredar selepas ditegur, namun datang semula 10 minit kemudian ke rumah mangsa dengan membawa parang.

“Malah mereka terus menyerang mangsa sebelum rakan jirannya itu menetak kepalanya selain turut membaling batu ke dalam rumahnya,” katanya.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri sementara mangsa yang berlumuran darah di kepala dibawa ke Hospital Kulim oleh ahli keluarga untuk menerima rawatan.

“Kejadian itu menyebabkan cermin tingkap rumah mangsa pecah selain kereta adik iparnya kemek dan calar akibat terkena batu.

“Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi Tech untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mangsa yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar dan usaha mengesan suspek giat dijalankan selepas mereka menghilangkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 4:53 PM