AMINUDDIN (baju putih)  berazam tidak memberi laluan mudah kepada Mukhriz. FOTO/AMRAN HAMID
AMINUDDIN (baju putih) berazam tidak memberi laluan mudah kepada Mukhriz. FOTO/AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


CALON Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar berazam tidak memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk merampas kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Aminuddin yang akan mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU-13 lalu mahu memastikan DUN Jitra kekal di bawah penguasaan BN, sekali gus menafikan khabar angin kononnya beliau ‘dibeli’ supaya sengaja kalah kepada Mukhriz yang bertanding atas tiket PKR.

“Saya kesal menjadi mangsa berita palsu.... mesej yang ditular itu tidak benar sama sekali dan saya akan berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi DUN Jitra kerana ini amanah diberikan pucuk pimpinan dan tidak mungkin saya akan khianati.

“Saya akan bertanding habis-habisan dan saya sendiri turun padang berkempen berjumpa masyarakat termasuk memberi motivasi kepada jentera BN bagi memastikan kemenangan di tangan parti.

“Malah sebelum musim PRU pun, saya sentiasa bertanggungjawab dan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat... jika mahu kalah, saya tidak akan lakukan semua ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Kakitangan DXN di Malau, Jitra, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Pengerusi BN negeri.

Aminuddin percaya cerita itu sengaja direka agar rakyat dan penyokong BN diperdaya serta keliru, malah tidak menolak kemungkinan ia strategi kotor dan perang saraf digunakan pembangkang agar beliau kehilangan penyokong.

“Mereka cuba mempermainkan rakyat dengan isu seperti ini... dalam mesej tular itu, turut menyebut saya akan diberikan kerja oleh Mukhriz... mereka benar-benar mahu mencetuskan rasa curiga atau was-was dalam kalangan pengundi dan penyokong saya.

“Saya bukanlah individu yang mudah melatah dan mengalah, namun saya tidak akan benarkan berita palsu ini meracuni pemikiran rakyat. Saya rasa rakyat sendiri boleh menilai,” katanya.

Kerusi DUN Jitra akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Aminuddin (BN), Mukhriz (PKR) dan calon PAS, Zulhazmi Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 9:00 PM