Ifwan Tun Tuah


“SPEKULASI nakal yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berikutan desas-desus kononnya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bakal menggantikannya.

Aminuddin berkata, cakap-cakap Mohd Rafizi bakal dilantik ke jawatan itu jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, memang cerita nakal.

Beliau berkata, mahkamah belum membuat keputusan sama ada PRK DUN Rantau diadakan atau tidak, namun banyak pihak sudah mula menyebarkan khabar angin.

“Ini adalah perkara biasa dan saya rasa Rafizi pun sedia maklum ini adalah spekulasi nakal yang sengaja disebarkan pihak tertentu. Bagi saya, Rafizi mempunyai peranan lebih besar, bukan di peringkat negeri.

“Apa pun, kita sedar jika PRK diadakan, ia akan menjadi sengit kerana menentang Timbalan Presiden UMNO (Ahli DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan) di kubu kuat parti itu.

“Kita serahkan kepada biro politik dan presiden sendiri untuk memilih calon. Saya akan serahkan dua atau tiga nama calon tempatan, namun tidak menolak kemungkinan parti mempunyai calon lain dari luar,” katanya.

Aminuddin yang secara rasminya masih bercuti selepas menjalani pembedahan pintasan jantung hujung bulan lalu, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr S Streram mengemukakan petisyen supaya PRK di DUN Rantau diadakan serta-merta kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Mengenai kesihatannya, Aminuddin yang dijangka mula bertugas Isnin depan, bersyukur kerana semakin pulih dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

Sementara itu, beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu, yang dilaporkan sakit sehingga mengganggu tugasnya sebelum ini sudah semakin sihat.

“Beliau sudah mula aktif menjalankan aktiviti dan tugas sebagai Exco dan ADUN Pilah, malah beliau hadir pada mesyuarat Exco hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin menafikan dakwaan kononnya cukai taksiran dinaikkan, sebaliknya menjelaskan sesetengah pihak salah faham mengenai kadar cukai sebenar.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan operasi pemutihan dengan menaikkan kadar cukai bagi pemilik kediaman yang melakukan pengubahsuaian kediaman mengikut nilai semasa,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau turut akan membentangkan Belanjawan 2019 Negeri Sembilan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 17 hingga 19 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 4:40 PM
Aminuddin becakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco. FOTO Adzlan Sidek
Aminuddin becakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco. FOTO Adzlan Sidek