Embun Majid


SULTANAH Maliha Tengku Ariff dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah dalam istiadat berlangsung di Istana Anak Bukti, Alor Setar, semalam.

Istiadat bermula 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri, diiringi pembawa peralatan istiadat iaitu cogan agama, cogam alam, cokmar, pedang dan lembing.

Sejurus keberangkatan masuk pasangan diraja ke Balairung Seri, payung istiadat dikembangkan, disusuli paluan nobat.

Watikah pemasyhuran dibaca Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sebelum Sultanah Maliha bangkit mengucup tangan Sultan Kedah sebagai tanda istiadat menjunjung duli, disusuli 21 das tembakan meriam.

Pada istiadat sama, Sultan Kedah turut mengurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) kepada Sultanah Maliha.

Turut berangkat menyaksikan istiadat itu adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Sultanah Maliha, 69, diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 13 April 1949 selaku anakanda ketiga daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup Tengku Sri Jaya Diraja Tengku Arif Tengku Long Abdul Rahman dan Cik Puan Rokiah Sulaiman.

Ayahanda kepada Sultanah Maliha adalah anakanda saudara kepada Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan ke-27.

Sultanah Maliha mendirikan rumah tangga dengan Sultan Sallehuddin pada 26 November 1965, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Tentera di Kem Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 1:49 AM
SULTAN Sallehuddin bersama Sultanah Maliha pada Istiadat Pemasyhuran Sultanah Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
SULTAN Sallehuddin bersama Sultanah Maliha pada Istiadat Pemasyhuran Sultanah Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid