SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menganugerahkan keris pemasyhuran Raja Muda Kedah kepada Tengku Sarafudin Sultan Sallehuddin di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. FOTO Amran Hamid
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menganugerahkan keris pemasyhuran Raja Muda Kedah kepada Tengku Sarafudin Sultan Sallehuddin di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


TUNKU Laksamana Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Salehuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20 dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini.

Pemasyhuran disempurnakan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Istiadat Pemasyhuran Pelantikan Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Pengisytiharan Pelantikan Yang Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah.

Terdahulu, pemasyhuran Tengku Sarafudin itu dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Selepas itu, Tengku Sarafudin turut dikurniakan 'Keris Kebesaran' sebelum paluan nobat serta sembilan das tembakan meriam dilepaskan.

Pemasyhuran berkenaan turut disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah.

Pelantikan Tengku Sarafudin adalah bagi menggantikan ayahandanya yang kini menjadi Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat pada September lalu .

Tengku Sarafudin adalah anakanda sulung Sultan Kedah, Sultan Salehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tunku Arif.

Dalam istiadat yang sama juga, anakanda kedua Sultan Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin turut dimashyurkan sebagai Tunku Laksamana Kedah.

Turut berangkat pada istiadat itu, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan barisan exco negeri Kedah turut hadir dalam istiadat berkenaan.

Tengku Sarafudin Badlishah, 50, mendirikan rumah tangga bersama Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff pada 2003 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.

Manakala, Datuk Tunku Shazuddin, 47, di puterakan di Alor Setar pada 27 April 1970 dan masih belum berumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 12:27 PM