GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Manorza Saraev


DUA lelaki dipercayai ‘tokan’ dadah bertindak melemparkan bungkusan berisi syabu bagi mengelak ditahan polis, dalam serbuan di berhampiran Jambatan Kampung Sungai Ragei, Mukah, semalam.

Bagaimanapun, taktik lelaki tempatan berusia 23 dan 31 tahun itu tidak berjaya apabila mereka dicekup bersama dadah berkenaan oleh polis di tempat kejadian.

Sumber berkata, polis mendapat maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di jambatan berkenaan daripada penduduk kampung.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan melakukan pemantauan sebelum mendapati ada dua lelaki di dalam sebuah kenderaan dan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, mereka dipercayai pengedar dadah sedang menunggu pelanggan di kawasan berkenaan.

“Polis menghampiri kenderaan suspek tetapi hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan terlarang pada kedua-dua individu itu dan di dalam kenderaan terbabit.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua suspek mencampakkan plastik berisi dadah dibawa mereka ke kawasan belukar berhampiran, sejurus menyedari kehadiran polis.

"Ternyata, `tuah' tidak menyebelahi mereka apabila hasil pencarian polis di kawasan belukar itu menemui sebungkus plastik lut sinar dipercayai mengandungi methamphetamin seberat 0.80 gram," katanya.

Berikutan penemuan itu, kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:52 PM