PEGAWAI Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mukah menjalankan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Mukah. FOTO Ihsan AADK
PEGAWAI Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mukah menjalankan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Mukah. FOTO Ihsan AADK
Manorza Saraev


SUAMI isteri antara 11 ‘kaki lalok’ yang ditahan dalam operasi khas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di beberapa kampung, di Mukah pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua AADK Daerah Mukah, Felynora Joseph Na berkata, operasi pertama membabitkan serbuan di Kampung Sungai Ragei, Kampung Petanak dan Kampung Tutus Hilir.

“Ia menyaksikan enam individu, masing-masing lima lelaki dan seorang wanita, ditahan selepas hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah Methampethamine.

“Antara enam individu ini, termasuk suami isteri yang ditahan di rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, AADK Mukah kemudian mengadakan pemeriksaan rambang dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak keesokannya melalui sekatan jalan raya di Jalan Matadeng, Mukah.

Ia membawa kepada penahanan lima individu selepas didapati positif dadah.

“Keseluruhannya, 40 individu diperiksa secara rambang dalam operasi hari kedua itu, namun hanya lima didapati positif dadah.

“Kesemua yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 1:27 PM