Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang penolong pengarah di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM210,000 selepas menyedari pelaburan pertukaran mata wang asing yang disertainya itu tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada Oktober tahun lalu apabila mangsa berusia 41 tahun berminat untuk menyertai satu pelaburan itu selepas mengenali seorang wanita dikenali sebagai 'Alice' dari Hong Kong menerusi media sosial.

Beliau berkata, suspek kemudian memperkenalkan mangsa dengan seorang lelaki yang dikenali 'Mr Li', kononnya pengurus pelaburan dan juga bapa saudaranya.

"Selepas berhubung, suspek meminta mangsa memasukkan wang untuk membuka akaun di satu platform dan mangsa memasukkan wang sebanyak RM83,000 bagi tujuan pelaburan.

"Pada 17 Disember 2020, mangsa sekali lagi menghubungi suspek dan mengatakan hasratnya untuk menutup akaun pelaburan kerana sudah tidak lagi berminat untuk melabur.

"Suspek, meminta memasukkan wang sebanyak RM21,000 sebagai cagaran keselamatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa memasukkan lagi wang sebanyak RM30,000 sebagai yuran pembekuan akuan selepas diminta suspek.

Mohd Wazir menambah, pada 4 Januari lalu, mangsa memasukkan wang RM43,000.00 sebagai bayaran verifikasi keselamatan kewangan.

"Seterusnya, pada 14 Januari lalu, mangsa di minta lagi memasukkan wang RM33,000 sebagai over night fee.

"Selepas itu, dimaklumkan suspek ditangkap oleh Komisi Independen Pemberantas Korupsi (ICAC) dan meminta mangsa buat bayaran sebagai penjamin sebanyak RM86,000," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, mangsa tidak memasukkan wang seperti yang diminta kerana menyedari ia satu penipuan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kuantan.

"Modus operandi yang digunakan suspek memperdaya mangsa melalui WhatsApp dengan menawarkan diri sebagai broker dalam urusan pelaburan mata wang asing, sekali gus mendorong mangsa membuat bayaran yuran yang tidak wujud sehingga mengalami kerugian wang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 10:06 AM