Che Wan Badrul Alias

Kuala Lumpur: Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini membiru dengan gema laungan anak muda menyatakan sokongan tidak berbelah kepada Barisan Nasional (BN).

Sejak jam 4 petang, anak muda daripada 78 pertubuhan mewakili golongan muda di seluruh negara membanjiri PWTC bagi menyaksikan sendiri pelancaran manifesto khas orang muda.

Bertemakan Jaminan Orang Muda (#JomBN) Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda, manifesto julung kali dilancarkan BN itu bakal menampilkan lapan teras utama.

Pelancaran akan disempurnakan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu dijangka turut dimeriahkan kira-kira 5,000 orang muda dari pelbagai kaum.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, dijangka akan menampilkan beberapa pendekatan yang dibuat BN dalam memperkasakan orang muda.

Antara teras yang akan diberikan keutamaan termasuk lebih banyak peluang kerjaya kepada anak muda dan graduan serta pembangunan usahawan muda menerusi pemberian bantuan dan dana keusahawanan yang lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 8:34 PM