TETAMU yang hadir ketika pelancaran Manifesto Khas Untuk Orang Muda ‘Jaminan Orang Muda #JomBN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
TETAMU yang hadir ketika pelancaran Manifesto Khas Untuk Orang Muda ‘Jaminan Orang Muda #JomBN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Nadia Hamid dan Nur Lela Zulkipli dan Julia Fiona


Kuala Lumpur: Dasar perancangan masa depan terbaik. Itu gambaran yang diberikan golongan muda susulan manifesto Jaminan Orang Muda (JOM BN) yang ditawarkan Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Mereka menyambut baik manifesto yang menggariskan lapan jaminan bagi memperhebatkan orang muda sebagai bukan hanya perancangan bagi tempoh lima tahun tetapi pembentukan negara 30 tahun seterusnya.

Lapan jaminan ditawarkan kepada Generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) antara lain membabitkan tiga juta peluang pekerjaan dan latihan, meningkatkan pendapatan dan kemahiran, memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan dan meringankan beban keluarga muda.

Selain itu, Pemuda BN turut berjanji untuk menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Usahawan tersenarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018, Ammar Roslizar, 28, berkata beliau lega dengan tawaran aku janji untuk usahawan muda berikutan ramai anak muda memilih bidang keusahawanan sebagai satu karier atau peluang pekerjaan.

Dia yang juga pengasas bersama agensi pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd berkata, ia satu perkembangan baik bagi mengimbangi semula struktur pekerjaan dan daya saing ekonomi negara terutama dalam kalangan Bumiputera

“Isu pokok (keusahawanan) disentuh dengan tepat, khususnya agenda kerajaan untuk membangunkan satu juta usahawan digital.

“Seperti mana ketika Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pernah menjadi agenda teras ekonomi nasional, usaha kerajaan untuk melahirkan usahawan digital selayaknya diangkat ke tahap yang sama,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kakitangan awam, Abdul Wafi Zulkipli, 28, bersetuju pelan meringankan beban keluarga muda melalui cadangan menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak; polisi penjagaan kanak-kanak dan bantuan nutrisi kanak-kanak adalah realistik.

“Ibu bapa muda yang terpaksa bekerja lebih masa hari ini, sebenarnya bimbang keselamatan anak-anak mereka.

“Justeru, kami lega dengan cadangan yang boleh memberi manfaat serta jaminan keselamatan kepada anak dan keluarga ketika masa bekerja,” katanya.

Ibu muda bekerjaya, Aishah Muhamad, 25, mengakui syor meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan dan usaha menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua akan meringankan beban pasangan muda.

“Pasangan suami isteri yang tinggal di bandar memang kena bekerja, kalau tidak susah. Dengan pelepasan cukai dan insentif tambahan, kami rasa kerisauan keluarga muda diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Bagi pengundi kali pertama yang juga penuntut Sarjana Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Nur Ain Ismail, berkata kemudahan untuk pendidikan adalah fokus utama dalam meningkatkan tahap pemikiran dan kemahiran golongan muda di negara ini.

“Secara peribadi, saya berpandangan manifesto JOM-BN adalah tiket untuk mengurangkan beban orang muda terutama pelajar dalam isu kos sara hidup. Insentif dan bantuan kerajaan adalah untuk memastikan tiada lagi orang muda dipinggirkan kesan kemiskinan dan pembangunan tidak sekata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:06 AM