KHAIRY  melambai  kepada ahli BN  selepas pelancaran manifesto Jaminan Orang Muda di  Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.
KHAIRY melambai kepada ahli BN selepas pelancaran manifesto Jaminan Orang Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.
KHAIRY yakin lapan jaminan terhadap orang muda dapat dilaksanakan 100 peratus.
KHAIRY yakin lapan jaminan terhadap orang muda dapat dilaksanakan 100 peratus.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Lapan janji manifesto khusus untuk orang muda yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diterjemahkan sepenuhnya.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, janji yang dibentangkan itu bukan ditampilkan atas kegilaan mencari undi atau dirangka untuk populariti, sebaliknya dibina atas suara, kerisauan, keluh resah, aspirasi dan impian setiap orang muda Malaysia.

Beliau berkata, lapan jaminan manifesto ditampilkan ini juga sudah mendapat persetujuan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sudah berjumpa Datuk Seri Najib dengan segala jaminan ini, dengan perancangannya, dengan kosnya. Datuk Seri Najib sebut pada saya - yes (setuju). Ok. Boleh.

“KJ (Khairy Jamaluddin) malam ini, kamu boleh mewakili kerajaan BN untuk memberi lapan jaminan ini kepada orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Manifesto Khas BN Untuk Orang Muda bertemakan Jaminan Orang Muda : Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda, berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Turut hadir, Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas, Ketua Pemuda parti komponen BN serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili 78 pertubuhan belia di negara ini.

Pada majlis sama, Khairy turut melancarkan hastaq JomBN, #JomBN, sebagai manifestasi sokongan anak muda kepada BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata janji manifesto BN ini juga sudah disemak kira dari segi kosnya dan jaminan untuk dilaksana adalah di bawah keupayaan kerajaan BN.

Beliau berkata, walaupun BN diakui ada kesilapannya, parti yang ditunjangi 12 parti komponen ini sudah melakukan banyak perkara mendatangkan manfaat kepada anak muda, menjangkau pelbagai bidang, sektor dan kos kehidupan.

“Kami tidak sempurna. Kami ada salah silap. Tetapi lihatlah secara keseluruhannya, lebih banyak baik daripada buruknya. Saya perlukan anda untuk memberi kepercayaan kepada saya.

“Kami boleh sahaja berjanji lebih banyak lagi. Kami boleh saja berjanji segala-galanya percuma. Kita boleh janji bulan dan bintang tetapi tidak memberitahu anda bagaimana janji tersebut akan dibiayai.

“Saya bukan penipu, penabur janji manis yang tak sampai beberapa minggu mereka sendiri mengakui, manifestonya tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Saya hanya mahu memberi jaminan terhadap apa yang saya yakin dapat kita laksanakan 100 peratus,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Khairy berkata Jaminan Orang Muda bukan hanya pelan untuk lima tahun akan datang, tetapi sebuah komitmen untuk orang muda bagi 30 tahun akan datang menuju program Transformasi Nasional 2050 ( TN50).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:15 AM