Fairul Asmaini Mohd Pilus; MohdNasarudduin Parzi; Esther Landau; Arfa Yunus; Siti Nur Mas Erah Amran dan Farhana Syed Nokman

PEMUDA Barisan Nasional (BN) mengharapkan supaya lebih ramai pemimpin muda dipilih mengisi jawatan dalam Kabinet selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, bagi menjamin pelaksanaan menyeluruh kepada manifesto Jaminan Orang Muda BN (JOMBN).

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga berharap supaya Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal belia dan pembangunan sukan dikhaskan kepada pemimpin muda.

“Walaupun ini kuasa mutlak Perdana Menteri, tapi saya harap beliau mendengar. Datuk Seri (Najib Razak) perluaskan untuk akan datang ini supaya Menteri Belia dan Sukan mesti datang dari orang muda.

“Bukan hanya jawatan Menteri Belia dan Sukan, tetapi dalam kalangan menteri lain mesti juga ada orang muda sebagai menjamin pelaksanaan JOMBN ini,” katanya ketika menjadi panel pada program Bicara Jom Undi di Balai Berita The News Straits Times Press (M) Berhad, hari ini.

Khairy berkata, JOMBN adalah janji BN dalam memperkasa orang muda dan ia dilaksana buat julung kalinya, sudah pasti memerlukan fokus dan komitmen yang berterusan dari kerajaan.

“Saya tidak pasti apa peranan saya selepas ini (PRU), tetapi saya ada tanggungjawab sebagai orang yang bentangkan JOMBN ini. Kita yakinBN mampu laksanakan semua janji ini.

“Kita akui kami tidak sempurna, tapi JOMBN ini kita mahu beri keyakinan buat mereka dan masa depan anak muda di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, JOMBN adalah janji realistik dan dibuat bersandarkan keupayaan kerajaan dan agensi pelaksana, malah kiraan kos juga diperhalusi Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“JOMBN lagi realistik berbanding janji palsu oleh pembangkang. Dalam manifesto Pakatan Harapan, mereka akan menggunakan ratusan billion ringgit (kos perbelanjaan), yang JOMBN kita buat ikut kemampuan, saya terpaksa berikan setiap janji saya ini kepada MOF dan EPU.

“Ada pegawai yang membuat kiraan kos bagi menentukan semua janji yang kita buat dalam JOMBN, masih dibawah keupayaan kerajaan,” katanya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata teras satu hingga empat yang diterbitkan dalam JOMBN menumpukan kepada usaha untuk memberi peluang kepada orang muda mendapat pekerjaan, meningkatkan tahap kemahiran dan keupayaan diri mereka.

“Empat teras seterusnya adalah kesejahteraan belia dimaan kita membantu mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

“Sebab itu dalam teras kelima, kita mahu bagi bantuan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin. Kita sudah buat kajian mendalam, kenapa kita bagi dana ini, antara penyebab utama adalah hutang peribadi orang muda adalah sebab mahu kahwin,” katanya. –ENDS.

From: mnasaruddin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 6:42 PM
Khairy ketika diwawancara slot Bicara Jom Undi di studio NSTP. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Khairy ketika diwawancara slot Bicara Jom Undi di studio NSTP. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman