ANGGOTA pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa.
ANGGOTA pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa.
HM Digital

Kuala Kubu Bharu: “Ada orang beritahu dia terjun ke dalam air dari atas batu, terus tidak timbul,” kata Muhamad Badrul Nizam Abdul Rashid, 30, abang kepada Muhammad Ridzuan, 27, yang ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Utama, Santuari Ikan Sungai Chiling, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang bekerja di syarikat swasta di Kuala Lumpur dipercayai pergi ke kawasan perkelahan itu bersama bakal tunangnya, Nurqamarina Hasnawi, 22, jam 2.11 petang.

Muhamad Badrul Nizam berkata, bagaimanapun adiknya dikatakan terjun dari atas batu yang tinggi dan tidak timbul sehingga dia ditemui lemas.

“Saya dapat panggilan telefon daripada keluarga di kampung jam 3.40 petang mengatakan adik lemas di Sungai Chiling dan bergegas ke sana dari Slim River, Perak.

“Adik saya ditemui di kawasan lubuk air terjun itu,” katanya.

Abang kepada teman wanita mangsa Saiful Anwar Hasnawi, 27, berkata, perancangan untuk menyatukan adiknya dengan Muhammad Ridzuan sudah dibuat dan dijangka melangsungkan pernikahan pada hujung tahun ini.

“Keluarga kami sudah bertemu dan mengikut perancangan mereka akan bernikah pada hujung Disember tahun ini.

“Persiapan awal seperti baju pengantin sudah ada, semuanya dalam perancangan kami hujung tahun ini, mereka akan bertunang terus bernikah,” katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Rosdi Shafie berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian dibantu lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 11:20 AM