ANGGOTA polis mengambil keterangan daripada mangsa di tapak berkumpul.
ANGGOTA polis mengambil keterangan daripada mangsa di tapak berkumpul.
Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: “Saya fikir kami pasti terperangkap lebih lama kerana berada di tengah hutan selain arus sungai deras. Memang trauma dan fobia hendak mandi sungai lagi,” kata Muhammad Aidil Ishak, 21.

Dia antara 21 individu yang terperangkap di kawasan air terjun Santuari Ikan Sungai Chiling, di sini, selepas sesat di pusat perkelahan itu sejak jam 6 petang, kelmarin.

Pengunjung yang terdiri daripada 14 warga tempatan, empat warga Pakistan dan tiga Iran itu turut terperangkap akibat kejadian kepala air yang berlaku di permukaan sungai berkenaan pada jam 5.45 petang.

Bagaimanapun, semua 17 pengunjung lelaki dan empat perempuan itu dibawa keluar oleh sepasukan anggota bomba dan polis jam 2 pagi, semalam, dalam keadaan selamat.

Muhammad Aidil berkata, dia kekejangan otot kaki kiri tidak dapat berjalan dan terpaksa dipapah sepanjang tiga kilometer merentasi enam lintasan sungai untuk sampai ke Pusat Kawalan Bomba yang dibuka ekoran kejadian itu.

Rakannya, Isyawadi Fauzie Nouti, 21, berkata, dia hampir dihanyutkan arus deras ketika cuba mengekori sekumpulan lelaki yang sudah menyeberangi sungai di Lintasan 6, namun terselamat selepas dicapai rakannya yang lain sebelum dibawa ke tebing.

“Kami sudah berada di tengah sungai dan tiba-tiba keadaan air berubah dengan cepat. Keadaan sangat cemas ketika itu, tetapi syukur saya selamat,” katanya.

Seorang wanita warga Iran yang dikenali sebagai Gatherian, 27, berkata, dia tidak menyangka perkelahannya di sungai berkenaan meninggalkan pengalaman menakutkan dalam hidupnya.

“Kaki kanan saya terseliuh dan menyukarkan pergerakan selain keadaan cuaca yang sejuk tanpa cahaya,” katanya ketika menerima rawatan kecemasan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

Sementara itu, petugas Santuari Ikan Sungai Chiling Muhammad Yusri Mokhtar berkata, berdasarkan buku pendaftarannya, hanya 15 pengunjung direkodkan terperangkap di kawasan perkelahan itu dan dia terkejut selepas mendapati terdapat enam lagi dibawa keluar.

“Saya percaya keenam-enam pengunjung berkenaan masuk ke kawasan perkelahan itu tanpa melaporkan diri kepada petugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, operasi menyelamat dijalankan bersama sepasukan 18 anggota bomba dan polis bermula jam 6.30 petang, kelmarin, dan berakhir jam 3 pagi, semalam.

“Semua mangsa sesat dibawa keluar dengan selamat dan tidak cedera serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:16 AM