MAHDZIR (tengah) bergambar kenangan pada program Sepetang Bersama Menteri Pendidikan Malaysia ke Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
MAHDZIR (tengah) bergambar kenangan pada program Sepetang Bersama Menteri Pendidikan Malaysia ke Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


KEMENTERIAN Pendidikan sentiasa memantau tahap keselamatan bangunan semua sekolah yang berusia lebih 100 tahun.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada ketika ini terdapat 10,200 sekolah dengan 2,400 adalah sekolah menengah, manakala selebihnya sekolah rendah.

Beliau berkata, lebih 20 daripada sekolah berkenaan sudah berusia lebih 100 tahun yang sudah wujud sebelum zaman merdeka lagi.

Katanya, kementerian akan memastikan sekolah berusia lebih 100 tahun di seluruh negara dipantau bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Antara pemantauan yang dilakukan adalah membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan serta pendawaian,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Sepetang Bersama Menteri Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak Datuk Mat Lazim Idris, Presiden Persatuan Penuntut Lepasan Clifford Tan Sri Mustafa Mansur, Pengetua SMK Clifford Kamaruzaman Abd Murad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Nordin Md Ali.

Mahdzir berkata, kerajaan akan memastikan kesemua sekolah berkenaan dijaga dengan baik terutama membabitkan penyelenggaraan.

“Sebahagian daripada program hari ini adalah untuk melihat sekolah-sekolah lama yang dibina sejak merdeka lagi.

“Bila sebut SMK Clifford yang berusia 121 tahun ini, kita nak tengok bagaimana kita boleh bantu sedikit sebanyak dalam konteks penyelenggaraan,” katanya.

Pada lawatan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.05 juta kepada sekolah itu di mana RM300,000 adalah untuk kerja pendawaian, RM700,00 bagi pembelian sebuah bas dan RM50,000 untuk pengurusan.

Beliau kemudian membuat lawatan ke Kompleks International Baccalaureate Sultan Azlan Shah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan menerima taklimat mengenai pencapaian dan keperluan MCKK daripada Pengetuanya Anand Baharuddin dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan MCKK Tun Hanif Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 10:17 PM