PEGAWAI dan anggota PSP Cheras yang diketuai Senior Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat. FOTO ihsan Polis
PEGAWAI dan anggota PSP Cheras yang diketuai Senior Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelbagai unit komited untuk terus membantu mangsa banjir di pelbagai kawasan yang terjejas.

PDRM dalam satu kenyataan berkata, antara bantuan yang dihulurkan ialah pelupusan al-Quran dan buku agama dari Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Masjid Ar Rahman, Sungai Lui yang rosak akibat bencana banjir.

"Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA),Cheras dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) mengumpulkan 800 naskah al-Quran dan buku agama.

"Semua naskah ini dihantar ke Masjid Al-Amin Briged Tengah PGA bagi tujuan pelupusan," katanya.

Sementara itu, di Hulu Langat, unit PSP turut mengedarkan kotak makanan yang dikumpulkan oleh mereka menerusi Surau Ehsaniah kepada mangsa banjir di perkampungan Orang Asli Batu 23.

"PSP turut menggembleng tenaga membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar Masjid Ar Rahman, Kampung Sungai Lui dan Masjid Hisamudin Alam Shah, Batu 14.

"Aset yang dimiliki PSP seperti water cannon dan lori digunakan bagi memastikan tugas pembersihan kawasan berjalan dengan lancar,"katanya.

Menurutnya, warga kerja PDRM Pahang turut menggulurkan bantuan dengan melakukan kerja pembersihan di kawasan terjejas.

"Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis dan Cameron Highlands bersama-sama membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis.

"Kerja pembersihan turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama warga pendidik SMK Clifford dalam membersihkan bangunan sekolah dan fasiliti yang terdapat di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 12:01 PM