Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin meninjau infrastruktur SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin meninjau infrastruktur SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Omar Ahmad


Kulai : Isu kesesakan dan kepadatan murid atau pelajar di sekolah di Johor, dilaporkan tidak berlaku pada sesi persekolahan baru 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, isu terbabit yang pernah timbul sebelum ini, bagaimanapun diselesaikan dengan pelaksanaan dua sesi pembelajaran iaitu pagi dan petang.

Katanya setakat ini purata murid dalam satu kelas adalah bawah 40 orang.

"Setakat ini masih lagi terkawal (isu kepadatan) dan kelas mencukup di Johor. Sekiranya ada, sekolah terbabit digalakkan membuat dua sesi persekolahan.

"Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jika berlaku perkara itu (kepadatan) akan dibuat dua sesi.

"Seperti di SMK Kangkar Pulai juga yang dilaporkan pada tahun lepas berdepan isu kepadatan murid dan pelajar, sudah melaksanakan sekolah dua sesi ini," katanya pada sidang media selepas lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aznan memberitahu kerajaan negeri akan memberikan tumpuan isu penyelenggaraan sekolah yang berusia lebih 30 tahun di negeri ini.

"Penyelenggaraan infrastruktur sekolah berkenaan dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru.

"Kerajaan Johor telah memperuntukkan dana hampir RM 15 juta sejak dua tahun lalu, bagi menaiktaraf infrastruktur di sekolah-sekolah.

"Dalam lawatan ini, SMK Tunku Abdul Rahman Putra yang berusia lebih 50 tahun itu menerima dana sebanyak RM 80,000, bagi kerja-kerja baik pulih siling yang rosak dan pecah serta kerja- kerja menukar pintu dan tingkap nako yang rosak dan usang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 11:35 AM