OTHMAN (tiga kiri) bersama ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif (dua kiri) beramah mesra dengan pelajar Tahfiz selepas majlis perasmian Hasanah Bersama Rakyat. FOTO Amran Hamid
OTHMAN (tiga kiri) bersama ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif (dua kiri) beramah mesra dengan pelajar Tahfiz selepas majlis perasmian Hasanah Bersama Rakyat. FOTO Amran Hamid
Suzalina Halid


KEDAH dipilih sebagai negeri pertama bagi pelaksanaan Projek AMAN iaitu suatu inisiatif dijalankan Yayasan AMIR dan LeapEd Services bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri berdasarkan empat teras utama.

Projek AMAN menyasarkan agenda transformasi melalui empat teras iaitu pentadbiran sekolah, guru, kepimpinan pelajar dan pembabitan komuniti dengan sekolah.

Yayasan AMIR dan LeapEd Services adalah rakan kongsi Yayasan Hasanah iaitu sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Projek perintis yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu membabitkan 64 sekolah yang dipilih daripada lapan daerah di Kedah.

Naib Presiden Kanan Bahagian Pendidikan Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Muthalib berkata, melalui projek itu, pihaknya memilih Kedah untuk memperluaskan lagi pelaksanaan program Sekolah Amanah melalui Projek AMAN.

Beliau berkata, sejak Sekolah Amanah diperkenalkan kira-kira lima tahun lalu di 83 sekolah di 10 negeri, program itu memberi manfaat kepada kira-kira 65,000 individu.

“Kita memilih Kedah untuk memperluaskan lagi pelaksanaan Sekolah Amanah yang diperkenalkan Yayasan Amir dan LeapEd Services sejak lima tahun lalu melalui Projek AMAN.

“Sebanyak 64 sekolah dipilih bagi pelaksanaan fasa pertama.

“Sasaran kita adalah mentransformasikan pentadbiran sekolah supaya lebih mantap, tenaga pengajar berdasarkan pembelajaran abad ke-21, kepimpinan pelajar dan pembabitan komuniti dengan sekolah, ” katanya ketika ditemui sempena program Hari Hasanah Bersama Rakyat, di Jerlun, hari ini.

Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putat itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Pada program itu, terdapat lebih 60 gerai yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan, aktiviti dan bengkel secara percuma kepada pengunjung yang bertemakan kos kehidupan, perkhidmatan, pekerjaan, inovasi dan akademik serta kesedaran sosial.

Program selama sehari itu berjaya menarik kunjungan lebih 5,000 penduduk sekitar Jerlun.

Pada masa sama, Nur Anuar berkata, Projek AMAN akan menempatkan penasihat di PPD bagi memberi latihan buat guru supaya mereka melaksanakan agenda transformasi di sekolah.

Sementara itu, Othman berkata pihaknya menghargai usaha Projek AMAN yang turut membabitkan pembabitan sekolah dari Jerlun untuk turut sama melalui agenda transformasi bagi memperkasakan sekolah di luar bandar.

“Sekolah luar bandar mungkin banyak kekangan khususnya soal jaringan berkaitan teknologi maka dengan adanya Projek AMAN mereka boleh membantu memperkasakan sekolah ini bagi merapatkan jurang dengan sekolah di bandar,” katanya.

Berhubung penganjuran Hari Hasanah Bersama Rakyat, pihaknya berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Khazanah supaya ia boleh dilaksanakan lagi di Parlimen Jerlun pada masa akan datang susulan sambutan hebat yang diterima daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 7:49 PM