PROGRAM turut menampilkan penceramah untuk berkongsi TSP.
PROGRAM turut menampilkan penceramah untuk berkongsi TSP.
hmdigital

PROGRAM Sekolah Amanah (TSP) yang dijalankan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjaya meningkatkan prestasi 83 sekolah melalui program transformasi pendidikan.

Kajian impak program TSP yang dijalankan LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd) itu mendapati prestasi guru turut meningkat dengan kira-kira 95 peratus guru sekolah menengah dan 76 peratus guru sekolah rendah. Ia berjaya melonjakkan satu anak tangga dalam pencapaian perkhidmatan mereka.

Pengarah Urusan LeapEd, Zulhilmi Othman berkata, berdasarkan keputusan kajian impak itu didapati program TSP memberi kesan positif kepada kehidupan guru, pelajar dan ibu bapa.

Katanya, daripada 83 sekolah amanah itu, sebanyak 86 peratus guru peringkat pertengahan termasuk guru yang menjadi ketua panitia sekolah rendah dan 91 peratus guru sekolah menengah mencapai peningkatan minimum satu tahap pencapaian dalam perkhidmatan mereka.

“Program TSP 1.0 yang dilancarkan pada 2011 memberi kesan kepada lebih 5,300 ibu bapa dan 65,000 pelajar di 12 negeri dengan tumpuan kepada model jangkauan perkongsian awam-swasta.

ZULHILMI
ZULHILMI

“Oleh itu, TSP 2.0 akan diteruskan dengan pelaksanaan model baharu yang menggabungkan aliran semasa pendidikan antarabangsa dan tempatan,” katanya.

TSP yang diperkenalkan pada 2011 ialah program Kementerian Pendidikan dalam usaha transformasi persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama pintar antara sektor awam dengan swasta.

Kerjasama pintar awam dan swasta itu membabitkan anak syarikat Khazanah yang menjalankan kerja penyedia perkhidmatan pendidikan, LeapEd bersama penaja sulung program itu, Yayasan AMIR.

Melalui program itu, sekolah amanah akan mempunyai autonomi dalam membuat keputusan berkaitan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalakkan inovasi serta menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keperluan komuniti sekolah.

Autonomi yang diberi merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru serta kakitangan bukan guru.

Program perintis bermula dengan 10 sekolah di Johor dan Sarawak pada 2011 dengan tumpuan menambah baik pembelajaran serta pengajaran.

Zulhilmi berkata, kajian impak juga mendapati masalah disiplin seperti ponteng sekolah berkurangan selain pembabitan ibu bapa dan hubungan dengan pihak sekolah turut meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:44 AM