ANGGOTA bomba melakukan kerja pembersihan selepas lori membawa muatan asid nitrik terbalik di Sungai Lokan, Butterworth, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba melakukan kerja pembersihan selepas lori membawa muatan asid nitrik terbalik di Sungai Lokan, Butterworth, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nur Izzati Mohamad


LORI membawa muatan asid nitrik terbalik lalu menyebabkan bahan kimia berkenaan tumpah dalam kemalangan berhampiran stesen minyak dekat Sungai Lokan, Butterworth, 2.30 petang ini.

Pemandu lori itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum ia terbabas dan terbalik.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai insiden terbabit.

“Pemeriksaan di permukaan jalan mendapati kira-kira 68 peratus asid nitrik yang dibawa lori berkenaan tumpah dan hampir mengalir ke kawasan longkang berdekatan.

“Oleh itu, anggota membuat takungan supaya tumpahan bahan kimia itu tidak masuk ke dalam longkang dan seterusnya membuat kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi.

Saadon berkata, sehingga 7 malam, kerja pembersihan masih dijalankan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, anggota memerlukan tempoh masa lama bagi memastikan supaya kawasan tumpahan itu bebas dan selamat daripada bahan kimia berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:17 PM