SULIATI (kanan) bergambar bersama Siew (dua kanan), Chong (kiri) dan Abdul Khani pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 di Putrajaya, malam ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SULIATI (kanan) bergambar bersama Siew (dua kanan), Chong (kiri) dan Abdul Khani pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 di Putrajaya, malam ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


WARTAWAN Harian Metro Suliati Asri dinobatkan sebagai pemenang kategori artikel pelancongan terbaik (Penerbitan Bercetak-Tempatan) pada Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017, malam ini.

Suliati memenangi kategori itu menerusi artikel. "Ini Di KL Lah...” yang disiarkan di ruangan Santai, Harian Metro pada 21 Julai 2016.

Artikel berkisar mengenai laluan kanopi diberi nama Titian Silara yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Simpan Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan sebagai pemenang.

Suliati berkata, dua artikelnya dicalonkan bagi kategori berkenaan selain artikel bertajuk "Khazanah Laut Menakjubkan”.

"Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini. Saya memang tidak menyangka dua artikel disenarai pendek untuk bersaing bagi kategori berkenaan.

"Ini adalah pencapaian terbaik saya dan saya rasa ia berbaloi sepanjang bergelar penulis pelancongan selama tujuh tahun di Harian Metro," katanya.

Suliati membawa pulang trofi kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Dr Siew Ka Wei.

Sebanyak 52 anugerah disampaikan bagi edisi ke-20 Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 kali ini membabitkan 14 kategori utama termasuk dua kategori baru iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik.

Program berkenaan dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Datuk Chong Yoke Har (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Seri Abdul Khani Daud,

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 11:04 PM