Avila Geraldine


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna bagaimanapun tidak menyatakan bila pengisytiharan itubakal dilakukan, namun menegaskan akan berbuat demikian jika itu yang dikehendaki.

“Saya sudah membuat pengisytiharan kepada SPRM (ketika ditahan untuk siasatan SPRM tahun lalu) tetapi jika mereka masih mahu saya untuk membuat pengisytiharan, saya akan lakukan.

“Insya-Allah, tiada apa yang perlu saya sembunyikan,” katanya kepada media selepas melancarkan Persidangan Pegawai Daerah Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai 13 Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan aset kepada SPRM, termasuk dirinya.

Sementara itu, mengenai persidangan berkenaan, Mohd Shafie mengingatkan Pegawai Daerah di Sabah supaya aktif turun padang berjumpa rakyat dan bukannya hanya duduk di pejabat.

“Pegawai Daerah perlu mendengar dan memahami keluhan rakyat kerana mereka adalah pelaksana dasar.

“Kita juga perlu ada perancangan daerah yang teratur, contohnya kawasan untuk kediaman tidak seharusnya bercampur dengan kawasan untuk industri.

“Saya lihat di Sarawak lebih teratur, di sana ada kawasan untuk perumahan, tempat untuk kilang dan sebagainya. Pegawai Daerah kita perlu melihat perkara ini,” katanya.

Dalam hal lain, Mohd Shafie berkata Malaysia perlu terus mengukuhkan kerjasama dengan Indonesia dan Filipina berkaitan aspek keselamatan.

Katanya, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada pertahanan seperti kawalan pemantauan dan operasi di kawasan sendiri.

“Kita perlu bekerjasama dengan Indonesia dan Filipina, perlu ada operasi bersama di antara ketiga-tiga negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:43 PM