Jailani  (tiga dari kanan)  menyampaikan sumbangan kepada  Fatimah (tengah) di Kelana Jaya.
Jailani (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah (tengah) di Kelana Jaya.
Norhadiani Baharom

Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio dan pelakon veteran terkenal, Fatimah Yassin, 79, yang menderita penyakit Osteoporosis (tulang rapuh) sejak empat bulan lalu, melahirkan rasa terharu apabila menerima kunjungan pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), semalam.

Seniwati yang popular dengan drama antaranya drama radio No 5 Persiaran Satu dan drama bersiri hebat PJ Holding itu, ditemui di kediamannya di Kelana Jaya.

“Alhamdullillah, terima kasih kepada semua yang datang. Tak sangka pula ramai macam ini. Maklumlah ramai rakan seangkatan saya yang sudah tiada. Saya pula akan menyusul, tak tahulah bila,” katanya kepada media.

Jelasnya lagi, masalah tulang rapuh yang dihidapinya bertambah kronik sejak insiden terjatuh tanpa sengaja di rumah dan sejak itu, dia hanya lagi mampu melakukan pergerakan kecil.

Selain itu, dia juga mengalami masalah sakit lutut dan buah pinggang.

Pada kunjungan yang diadakan jam 11 pagi itu, seniwati veteran berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai yang diserahkan sendiri Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari, Pengerusi FINAS, Datuk Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah Finas Datuk Fauzi Ayob, dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Namun begitu jumlah keseluruhan sumbangan tidak didedahkan.

Sementara itu, Ahmad Fazuan Kamaruddin, 45, yang juga anak bongsu kepada Fatimah berkata, ibunya memerlukan kos perbelanjaan sebanyak RM5,000 sebulan untuk merawat penyakitnya.

“Mak mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) setiap dua bulan sekali. Kos rawatan awal adalah RM10,000. Kemudian kos lain adalah tanggungan kami enam adik-beradik.

“Selain itu, mak juga perlu menjalani fisioterapi setiap minggu di rumah,” jelasnya.

Menyedari ramai artis veteran tempatan yang mengalami masalah kesihatan dan kewangan, FINAS bercadang menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu golongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:43 AM