HARAP pihak tertentu ambil ikhtibar supaya beri penghargaan ketika seniman masih hidup.
HARAP pihak tertentu ambil ikhtibar supaya beri penghargaan ketika seniman masih hidup.

Selalu kita dengar seniman dan seniwati veteran dihargai atau diberi penghormatan apabila orangnya sudah tiada. Malah diberi pangkat dan gelaran apabila jasadnya sudah tiada.

Ada yang sampai ke akhir hayat hanya mampu melihat seorang demi seorang artis yang lebih muda mendapat penghargaan.

Tetapi mungkin Datuk Rosnani Jamil atau mesra dengan panggilan Mak Nani antara insan seni veteran yang bertuah kerana pembabitannya selama lebih 60 tahun dalam dunia seni sering mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.

Pada 2010, dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Pahang, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Tahun sama menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 serta banyak lagi penghargaan lain buatnya.

Dalam usia 80 tahun, Mak Nani berjaya menghasilkan filem Mawar Putih yang ditayangkan di pawagam tahun lalu dan disifatkan sebagai salam perpisahannya sebelum bersara.

Minggu depan, ada pihak menganjurkan konsert khas buatnya di Singapura yang dijayakan ramai artis lama dan baru serta dihiburkan dengan lagu klasik dan malar segar hasil tulisan Allahyarham suaminya, Datuk Jamil Sulong seperti Tiada Kata Secantik Bahasa, Kau Laksana Bulan dan Tiru Macam.

Antara artis yang bakal menjayakan konsert itu ialah Rahimah Rahim, Kamaliah Latif, Mahani Mohd, A Mahadi, Eddie Ali manakala hosnya, Azhar Noor Lesta kebanyakan mereka adalah generasi kedua yang mewarisi bakat seni daripada ibu bapa mereka.

Ia pasti meriah dengan kehadiran artis veteran dari Jalan Ampas dan Cathay Keris seperti Zaiton, Sri Dewi, K Fatimah, Wahid Satay dan Nona Asiah. Mereka yang uzur akan dijemput dan dihantar untuk sama-sama hadir memeriahkan hari istimewa itu.

Bagi Mak Nani, konsert ini juga sebagai satu pengajaran kepada pihak tertentu supaya memberi penghargaan ketika mereka masih hidup jangan apabila sudah tiada, baru hendak dihargai.

Ia juga sebagai satu penghargaan daripadanya khas buat semua peminat setia yang menyokongnya selama ini serta buat semua insan seni yang dapat berkumpul dan bertemu dengan lebih dekat lagi di Singapura.

Mak Nani tidak nafikan ada kalangan insan seni veteran terutama dalam kalangan pengarah yang pernah menyemarakkan dunia filem tanah air seakan dilupakan kini.

Generasi muda seperti tidak tahu sumbangan dan perjuangan mereka dalam menghasilkan filem hebat suatu ketika dulu.

Katanya, memang ramai pengarah veteran seakan dilupakan sedangkan ketika aktif dulu mereka tidak pernah kenal erti lelah menghasilkan satu demi satu filem untuk santapan umum. Tapi kini apabila berusia dan tidak mampu lagi berkarya, mereka seolah-olah dipinggirkan.

Harapan Mak Nani, konsert ini diteruskan dari semasa ke semasa untuk menghargai insan seni veteran lain. Besar juga harapan Mak Nani agar generasi akan datang dapat menghargai karya seni orang lama. Pada malam itu juga Mak Nani berharap dapat berkongsi memori indah buat semua.

Orang yang bertanggungjawab merealisasikan konsert ini ialah Habibah Haron bersama rakannya, Herdawatie dan Yusof Ahmad. Habibah adalah pelakon kanak-kanak yang popular dengan panggilan Lela Manja ketika di studio Jalan Ampas dulu.

Ia bakal diadakan di Auditorium Kelab Masyarakat Marine Parade pada Ahad ini selama lima jam bermula jam 1 petang dan turut mendapat kerjasama Kelab Masyarakat Marine Parade dan Persatuan Minangkabau Singapura.

Cucu Mak Nani, Tiesha turut menyanyi pada malam itu menerusi lagu dari filem Mawar Putih diikuti tayangannya selepas itu.

Tidak hanya filem dan konsert, anak seni kelahiran Padang, Indonesia pada 20 Januari 1936 itu turut membekalkan buku mengenai kisah hidupnya untuk semua. Buku autobiografi yang ditulis Bahyah Mahmood atau Bam itu bakal diterbitkan tahun ini.

Mawar Putih penghargaan buat suami

Mula berlakon pada 1952 menerusi filem Lupa Daratan bersama Allahyarham Omar Rojik, Mak Nani duduk di kerusi pengarah dan produser pada 1985 menghasilkan Mawar Merah terbitan syarikat sendiri, RJ Filem.

Buah tangan sulungnya yang dilakonkan Raja Ema dan Allahyarham Mustaffa Noor itu membuahkan hasil apabila diiktiraf juri dalam Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi beberapa kategori lakonan dan teknikal.

Menyusul selepas itu, filem Antara Dua Hati (1988), Memori (1991), Amelia (1994), Bicara Hati (2004) dan terbaru, Mawar Putih (2016) yang disifatkan karya terakhirnya.

Walaupun Mawar Putih tidak cemerlang seperti filem pertama, Mak Nani tetap berbangga dengan hasilnya kerana ia mempunyai nilai tersendiri buat dirinya.

Baginya, berjaya menghasilkan Mawar Putih dalam usia 80 tahun sebagai satu kepuasan buat dirinya kerana ia juga satu penghargaan buat suami tercinta, Datuk Jamil Sulong yang meninggal dunia pada 25 September 2014.

Malah Mawar Putih disifatkan sebagai tanda perpisahan dengan dunia seni. Filem genre cinta itu menyaksikan gandingan Reen Rahim dan pelakon Indonesia, Triestan Aprilian sebagai teraju utama.

Selain Padang, filem yang secara keseluruhan membabitkan kos hampir RM1 juta termasuk promosi itu turut mengambil latar Bukit Tinggi, Sumatera.

Katanya, mungkin filem itu tidak meletup ketika ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos tahun lalu, apa yang paling penting karya terakhirnya itu berjaya disiapkan dengan kekangan tenaga dan kemampuannya.

“Mungkin tidak untung besar tetapi balik modal. Alhamdulillah ada bantuan daripada Finas,” katanya.

Mak Nani juga akui tidak berani menaggung risiko mengadakan promosi besar dengan kos yang tinggi untuk filem itu dan mengharapkan penonton menerima filem arahannya itu seadanya.

Kini Mak Nani berusaha untuk menjual filemnya itu kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) supaya karya akhirnya itu dapat ditonton masyarakat luar bandar yang tidak berpeluang menonton di pawagam.

Katanya, dia tidak menjual filemnya kepada Astro First kerana sedar sasaran penonton untuk filemnya ialah golongan berumur sepertinya tetapi mereka tidak ke panggung atau melanggan stesen berbayar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:04 AM