ZED lega apabila isu parkir di Finas menemui jalan penyelesaian.
ZED lega apabila isu parkir di Finas menemui jalan penyelesaian.
Najiy Jefri


ISU kenderaan milik Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diarahkan untuk dialihkan ke tempat lain oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Kelang sudah menemui jalan penyelesaian.

Presidennya,

Zed Zaidi atau Rozaidi Abdul Jamil, 43, berkata, Finas akhirnya membenarkan kenderaan milik Seniman untuk terus berada di tapak parkir selepas menyuarakan bantahan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

"Dalam masa empat hari isu ini sudah selesai. Alasan utama dinyatakan bagi mengalihkan kenderaan terbabit adalah kerana mengganggu. Namun, akhirnya selepas membuat bantahan kenderaan terbabit mendapat kebenaran.

"Perkara ini tidak sepatutnya dijadikan masalah besar kerana parkir van Seniman langsung tidak mengganggu, selain petak parkir yang diberikan bukan parkir VIP.

"Lagipun sudah empat tahun van itu di sana. Ada juga kenderaan persatuan lain. Tidak ada sebarang masalah pun selama ini," katanya.

Zed ditemui ketika majlis makan malam syarikat ZR Cahaya Sdn Bhd yang berlangsung di Serdang baru-baru ini.

ZED (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada Wham sebagai tanda sokongan kepada industi hiburan.
ZED (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada Wham sebagai tanda sokongan kepada industi hiburan.

Terdahulu Finas mengeluarkan arahan kepada Seniman untuk mengalihkan kenderaan Seniman dan ia perlu dilakukan sehari selepas surat diberikan.

Finas menyebut alasan berbuat demikian kerana ruang parkir di premis berkenaan terhad dan mengganggu urusan majlis rasmi serta mesyuarat yang membabitkan pihak ketiga.

Pada masa sama, Zed berharap Finas bersikap profesional dan tidak melupakan segala jasa yang pernah diberikan Seniman sebelum ini.

"Kenderaan Seniman pernah digunakan untuk beberapa majlis Finas apabila menjadi pengangkutan untuk artis veteran dari Singapura," katanya.

Dalam pada itu, Zed yang juga ahli lembaga pengarah ZR Cahaya bersama Pengarah Urusan syarikat itu, Mohd Zaifabsuri Mohd Yusof menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada beberapa persatuan seni termasuk Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Sumbangan disampaikan kepada Timbalan Presiden WHAM iaitu Niezam Abdullah.

"WHAM juga banyak terbabit dengan industri seni dan kami sudah lama bekerjasama.

"Ini antara usaha kami dalam membantu industri seni hiburan. Kami berharap rezeki ini dapat diteruskan pada masa mendatang," katanya.

ZR Cahaya adalah pengeluar produk kecantikan penjagaan kulit Maderm yang semakin laris ketika ini.

Antara artis yang hadir memberi sokongan pada majlis itu termasuk Datuk Yusof Haslam, Baggio (Damasutra), Nadia Mustafar, Anne Abdullah, Acong (Sweet Child), Liza Abdullah, Azura Aziz dan Joey (Bumi Putra Rockers).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:31 AM