NOLEE (tengah)  bersama Ismail yang memegang sijil pengiktirafan MBOR, semalam.
NOLEE (tengah) bersama Ismail yang memegang sijil pengiktirafan MBOR, semalam.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kampar: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini, mencatat sejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berjaya menghasilkan replika wau terbesar, semalam.

Wau sebesar hampir satu padang bola bersaiz 75 meter panjang dan lebar 70 meter itu dibuat menggunakan lembaran plastik yang dicantumkan pada rangka wau diperbuat menggunakan buluh hasil kerjasama warga sekolah berkenaan.

Pengarah projek yang juga guru Pendidikan Seni Visual (PSV) SMK Malim Nawar Muzafar Saari berkata, idea untuk menghasilkan replika wau itu dibincangkan sebulan lalu sebelum usaha pembuatannya dimulakan sejak 3 Januari lalu.

Menurutnya, selain memupuk penjanaan minda bagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar, inisiatif itu juga bagi mengeratkan silaturahim serta semangat kerjasama antara pelajar dan warga pendidik sekolah berkenaan.

“Pada asalnya replika wau dibina hasil usahasama antara 649 pelajar serta 80 warga pendidik sekolah ini sudah siap semalam (kelmarin) menggunakan 500 lembaran surat khabar namun ia musnah susulan hujan lebat.

“Keadaan itu memaksa semua pelajar dan guru terpaksa bersengkang mata sejak petang semalam (kelmarin) hingga awal pagi ini (semalam) bagi menggantikan bahagian badan wau yang musnah dengan lembaran plastik dan ia berjaya disiapkan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian projek itu, semalam.

Perasmian projek replika wau itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi, dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Hadir sama Eksekutif Pentadbiran MBOR Siti Hajar Johor yang mengesahkan pengiktirafan projek berkenaan dan Pengetua SMK Malim Nawar, Ismail Ebrahim.

Terdahulu, Ismail berkata, projek berkenaan mendapat sokongan padu daripada Nolee Ashilin yang sudi memperuntukkan RM5,000 bagi menjayakannya selain menyumbang RM5,000 lagi kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi aktiviti anjuran sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 6:55 AM