Dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan PDRM
Dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi

PASANGAN kekasih yang juga pengedar dadah ditahan polis dalam kereta di tepi jalan di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Bota hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang, ketika ditahan pasangan kekasih itu dipercayai sedang menghisap dadah.

Ketua Polis Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek lelaki yang berusia 35 tahun duduk di tempat duduk pemandu manakala teman wanitanya yang juga penumpang hadapan berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai sedang menghisap dadah.

"Pemeriksaan pada beg silang yang dipakai lelaki terbabit menemui sepaket plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 229 gram, dua paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat kira-kira 27 gram.

"Pemeriksaan lanjut pada wanita berusia 25 tahun itu pula menemui tiga paket plastik lutsinar dan satu tiub straw dipercayai heroin seberat 6.03 gram di dalam beg tangannya.

"Turut menemui sebotol kaca yang diubahsuai yang dipegang suspek lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Pasangan kekasih yang kedua-duanya tidak berkerja itu turut dipercayai mengedar dadah sejak tujuh bulan lalu di sekitar Kampung Gajah dan Jejawi.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati pasangan itu positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata, pihaknya menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Seri Iskandar berusia 21 tahun yang diserahkan wardennya ke Balai Seri Iskandar pada jam 12.50 tengah malam.

"Polis membuat tangkapan semula ke atas lelaki itu dan turut merampas sepaket plastik lutsinar disyaki ganja seberat 3.77gram

"Ujian saringan air kencing turut mendapati penuntut itu positif dadah namun tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:25 PM