PEMBANTU Pendaftar Mahkamah Syariah Pekan, Mohd Kahar Arsyad, 47. FOTO Farizul Hafiz Awang
PEMBANTU Pendaftar Mahkamah Syariah Pekan, Mohd Kahar Arsyad, 47. FOTO Farizul Hafiz Awang
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Seorang Pembantu Pendaftar Mahkamah Syariah Pekan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, sebentar tadi atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 bagi membatalkan perkahwinan satu pasangan pada 28 Mei tahun lalu.

Mohd Kahar Arshad, 47, mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,500 daripada Hurul-Ain Hanafi sebagai dorongan membatalkan perkahwinannya dengan pasangannya, Mohamed Zaki Ahmad Ghazali yang dikatakan tidak sah berikutan surat pernikahan mereka dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran D'Osiss Jalan Putera Square di sini pada 4.20 petang, 28 Mei tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Sesyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 11:42 AM