PELAJAR Madrasah Al-Imaniah Kampung Jerantut FerI menyelamatkan pakaian dan dokumen penting berikutan limpahan air sungai Pahang semakin meningkat. FOTO Nazirul Roselan
PELAJAR Madrasah Al-Imaniah Kampung Jerantut FerI menyelamatkan pakaian dan dokumen penting berikutan limpahan air sungai Pahang semakin meningkat. FOTO Nazirul Roselan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JUMLAH mangsa banjir di Pahang terus mencatatkan peningkatan kepada 9,460 orang daripada 2,597 keluarga sehingga 5 petang ini berbanding 6,784 orang daripada 1,843 keluarga sehingga 10 pagi hari ini.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kuantan masih menjadi daerah paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 7,795 orang daripada 2,172 keluarga yang ditempatkan ke 31 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Ia diikuti Pekan yang mencatatkan 849 mangsa daripada 211 keluarga yang dipindahkan ke lima PPS.

Rujukan di portal itu juga menunjukkan daerah Rompin mencatatkan 714 mangsa daripada 190 keluarga ke 10 PPS manakala Jerantut mencatatkan 50 mangsa daripada sembilan keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS.

Dalam pada itu Bera menjadi daerah terkini yang dilanda banjir dengan 33 mangsa dari sembilan keluarga dipindahkan ke tiga PPS sementara Lipis mencatatkan 19 mangsa daripada enam keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, sebanyak 42 sekolah terpaksa ditutup di seluruh Pahang, hari ini, akibat banjir.

Beliau berkata, sekolah berkenaan ditutup disebabkan dinaiki air, jalan ditutup akibat banjir serta dijadikan pusat pemindahan sementara.

“€œKuantan dan Jerantut adalah daerah paling banyak sekolah ditutup iaitu masing-masing 15 sekolah dan empat lagi di daerah Temerloh.

“€œSelain itu, tiga sekolah ditutup di Lipis manakala dua lagi sekolah masing-masing Pekan dan Maran serta Bera sebuah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, bilangan sekolah yang ditutup dijangka akan meningkatkan berikutan keadaan cuaca yang masih kadang kala hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 7:33 PM