NOR Aizah (dua dari kiri) berpakaian watak fantasi ketika hari pendaftaran SK  Putrajaya Presint 11 (2).
NOR Aizah (dua dari kiri) berpakaian watak fantasi ketika hari pendaftaran SK Putrajaya Presint 11 (2).
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (2) mencipta kelainan apabila mengenakan pakaian ala alam fantasi bagi menyambut murid tahun satu dan prasekolah pada Hari Orientasi dan Pendaftaran Murid Prasekolah dan Tahun 1, di sini, semalam.

Lebih menarik, Guru Besar, Nor Aizah Ismail mengenakan pakaian ala ahli sihir manakala beberapa guru lain berpakaian seperti sang puteri.

Kelainan yang dibawa itu menarik perhatian 320 murid tahun satu dan ibu bapa yang hadir mendaftarkan anak masing-masing.

Nor Aizah berkata, beliau bersama barisan guru lain mengambil pendekatan kreatif berkenaan bagi membangkitkan suasana ceria dan rasa seronok kepada murid baru yang bakal memasuki alam persekolahan.

“Pendekatan itu dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan konsep pakaian berlainan pada setiap tahun. Kami akan meneruskan tradisi berkenaan pada tahun-tahun yang akan datang bagi meraikan murid baru,” katanya.

Katanya, pihaknya ingin wujudkan suasana yang ceria supaya murid seronok untuk hadir ke sekolah.

Sementara itu, murid tahun satu SKPP 11(2), Azfa Amir Kushairi, 7, berkata, dia gembira dan langsung tidak takut selain tidak mempunyai masalah untuk bangun pagi ke sekolah.

“Sebelum ini dah biasa pergi ke tadika setiap pagi, jadi tiada masalah untuk bangun pagi dan saya sangat seronok untuk berjumpa dengan rakan baru,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Roaini Jaafar ketika meninjau hari orientasi berkenaan berkata, pihaknya melihat murid-murid semakin berkeyakinan untuk memasuki tahun satu malah mereka kelihatan seronok terutama apabila bertemu rakan baru.

Selain itu, Roaini berkata, lebih 4,000 murid tahun satu mendaftar masuk di semua 14 sekolah rendah di Putrajaya bermula 2 Januari ini iaitu peningkatan 25 peratus berbanding 3,000 tahun ini.

Menurutnya, pertambahan berkenaan didorong peningkatan mendadak jumlah penduduk di Putrajaya setiap tahun.

“Murid paling ramai didaftarkan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) dengan 400 murid membabitkan 11 kelas.

“Putrajaya kini menjadi pilihan penduduk terutama yang memilih menetap di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) malah kebanyakan ibu bapa adalah pasangan muda yang anak mereka masih di peringkat sekolah rendah,” katanya pada sidang media selepas meninjau hari orientasi berkenaan, semalam.

Katanya, bagi menampung keperluan murid yang semakin meningkat, seramai 1,168 guru ditempatkan di 14 sekolah di Putrajaya.

Roaini berkata, seramai 200 guru baru ditempatkan di sekolah rendah di Putrajaya bagi menampung peningkatan murid berkenaan.

“Buat masa ini, segala keperluan dan bilik darjah mencukupi bagi menempatkan semua murid baru berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 4:57 AM