Sebahagian daripada 167 calon SPM menjawab soalan Kertas Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), hari ini. Gambar kecil, Muhammad Faisal Rusydan. Foto NURSYAHIRAH MARZUKI
Sebahagian daripada 167 calon SPM menjawab soalan Kertas Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), hari ini. Gambar kecil, Muhammad Faisal Rusydan. Foto NURSYAHIRAH MARZUKI
Nursyahirah Marzuki

WALAUPUN terpaksa bertongkat dan pergerakan terbatas, namun bukan halangan buat Muhammad Faisal Rusydan Rokhaime, 17, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, hari ini.

Dia yang juga seorang daripada 167 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) itu berkata, akibat kemalangan yang berlaku tiga tahun lalu menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk di kaki sehingga perlu memakai tongkat.

"Saya sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan ini dan berazam akan berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang," katanya ketika ditemui di Putrajaya, di sini.

Tinjauan Harian Metro di sekolah berkenaan mendapati seramai 167 calon hadir membabitkan 92 lelaki serta 75 perempuan dan sesi peperiksaan berjalan dengan lancar.

Mereka mula berkumpul untuk mendengar taklimat dan nasihat terakhir daripada guru pada 7.30 pagi, malah ibu bapa calon turut berkumpul bersama-sama dengan guru.

Calon SPM turut membaca doa sebagai pembakar semangat sebelum masing-masing menjawab soalan peperiksaan Kertas Bahasa Melayu 1.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Putrajaya Roaini Jaafar dan Pengetua sekolah berkenaan Ab Aziz Mamat.

Dalam pada itu, Roaini berkata, sebanyak 1,335 calon menduduki peperiksaan SPM 2017 di 11 pusat peperiksaan di seluruh Putrajaya yang bermula hari ini.

"Semua calon di Putrajaya akan menduduki peperiksaan SPM sehingga 30 November ini, malah tahun ini kita mempunyai pusat baru di SMK Putrajaya Presint 5 (1) yang menempatkan seramai 30 calon.

“Perjalanan SPM 2017 di seluruh Putrajaya setakat ini berjalan lancar dan diharapkan keadaan ini kekal

sehingga tamat peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:19 AM