GELAGAT penghidu gam secara terang-terangan di khalayak ramai.
GELAGAT penghidu gam secara terang-terangan di khalayak ramai.
HM Digital

Melaka: “Abang parking (parkir) RM2 je (saja).” Itulah antara ayat kumpulan penghidu gam atau lebih dikenali dengan panggilan kumpulan ‘tarik bulan’ ketika meminta upah kononnya untuk menjaga kenderaan diparkir orang awam atau pelanoong yang bercuti di negeri ini.

Mereka digelar kumpulan tarik bulan berikutan gelagat iaitu tangan kiri memegang gam manakala tangan kanan pula melambai-lambai ke arah pemandu sedang mencari parkir.

Penghidu gam terbabit mula aktif menjaga parkir di sekitar Plaza Mahkota, Banda Hilir, di sini, sejak tiga tahun lalu dan mereka dipercayai serpihan kumpulan yang menguasai sekitar Air Pancut Berirama
di Kampung Jawa, terletak 2.6 kilometer dari lokasi sekarang akibat berpecah selepas kematian dua anggota ‘seniornya’.

Setiap hari kumpulan itu akan berkeliaran di kawasan parkir untuk meminta upah, wang diperoleh kemudian digunakan bagi membeli makanan dan gam basikal untuk dihidu.

Walaupun tidak pernah bertindak agresif, majoriti pemilik kenderaan menyerahkan upah RM2 diminta kerana risau kenderaan masing-masing yang diparkir dirosakkan oleh penghidu gam terbabit.

Pelancong berasal dari Pendang, Kedah, Mohd Johari Mansur, 37, berkata, dia menyerahkan upah RM2 diminta memandangkan penghidu gam menghampirinya ditemani empat rakannya yang lain.

“Mahu atau tidak saya bagi saja duit kepada mereka kerana khuatir kereta kami dirosakkan sehingga menyebabkan kerugian berlipat kali ganda daripada nilai upah diminta.

“Lagi pun, saya khuatir keselamatan anak-anak memandangkan ahli kumpulan itu berkeliaran di sekitar kawasan ini dalam keadaan khayal akibat menghidu gam tanpa pengawasan pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Johari berkata, dia berasa kurang selesa apabila kumpulan yang sama dikesan berkeliaran di pusat beli-belah berhampiran sambil menggenggam plastik berisi gam.

Sementara itu, beberapa pengusaha hotel ketika ditemui berkata, tindakan kumpulan terbabit meminta upah parkir menimbulkan rasa kurang senang dan menakutkan pelancong menginap di sekitar kawasan terbabit.

Malah, sebelum ini pernah berlaku beberapa insiden pelancong dikasari oleh kumpulan terbabit kerana tidak mengendahkan permintaan mereka.

Pengusaha hotel yang hanya mahu dikenali sebagai Zahari, 31, berkata, perbuatan ahli kumpulan itu yang terang-terangan menghidu gam di khalayak ramai turut mengundang rasa tidak senang pelancong.

“Mereka dengan selamba tarik bulan depan orang awam yang lalu-lalang. Kalau ditegur supaya berhenti melakukan perbuatan itu atau perasan gelagat diperhatikan mereka akan senyum sebelum beredar.

“Bagi membantu golongan itu menghilangkan ketagihan, ada antara kami pernah mengambil mereka bekerja, tetapi semuanya tidak mampu bertahan lama dan kembali hidup dalam dunia sendiri dengan menghidu gam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 6:44 AM